JPA cadang wajibkan penjawat awam terima vaksin COVID-19

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bercadang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bercadang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam, bagi memberi jaminan dan meningkatkan keyakinan dalam kalangan orang awam yang berurusan di bangunan kerajaan.

Jabatan itu berkata, bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

Menurut JPA, langkah wajib vaksinasi itu adalah di antara cadangan akan dibawa JPA kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputuskan.

“Secara dasarnya, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

“Justeru, semua penjawat awam perlulah mematuhi peraturan sedia ada, termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila mereka diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan.

“Kita hendaklah melindungi diri sebelum kita mahu melindungi orang lain,” kata JPA dalam satu kenyataan.

JPA berpandangan, beberapa langkah boleh diambil kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya dapat mengambil vaksin.

Sehingga kini, menurut JPA, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin ini sudah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok mereka yang belum berbuat demikian.

“Namun perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan, di samping usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.