KUALA LUMPUR: Merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan Kerajaan Sabah untuk menyediakan kad pengenalan kepada warga asing di negeri itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ingin bertanya apakah jenis kad dimaksudkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Maduis Tangau berkata, kenyataan Hamzah kelmarin menimbulkan banyak persoalan kerana isu pengeluaran kad pengenalan sudah lama dipolitikkan termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis dua tahun lalu.
Kata beliau, pada masa ini, terdapat beberapa jenis kad yang telah dikeluarkan iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung kepada warga asing di Sabah.
Katanya, kira-kira dua tahun lalu, parti-parti yang menganggotai Kerajaan Negeri Sabah sekarang dan Kerajaan Persekutuan sendiri yang telah membantah dan menjadikan usaha Kerajaan Pusat ketika itu memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi mengenal pasti kedudukan warga asing di Sabah sebagai isu pilihan raya dan politik.
“Kami mahukan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tentang jenis kad yang hendak digunakan sebagai kad pengenalan atau dokumen seumpamanya,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Kata beliau, Menteri Dalam Negeri mesti menjelaskan sama ada objektif dan cara kerja kad pengenalan tersebut adalah sama seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Pusat, iaitu PSS ketika itu.
“Jika cadangan dan syor itu datang daripada agensi kerajaan yang sama yang pernah mencadangkan PSS sebelum ini, kemungkinan besar cadangan yang sama walaupun dengan nama yang berbeza.
“Jangan bermain dengan kata-kata seperti niat kad yang bahau dicadangkan ini bukan untuk memberi dokumen pendatang tanpa izin (PTI) atau untuk memberi mereka kerakyatan kerana PSS ketika itu tidak pernah ada matlamat untuk memberikan kesan seumpama itu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Katanya, UPKO tidak mahu tindakan mengeluarkan kad pengenalan baharu kepada pendatang membawa kepada masalah atau isu baharu di Sabah, dan menyebabkan isu semasa berlarutan sehingga boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat Sabah dalam jangka masa panjang.
“Terangkan kepada kami apakah perbezaan pengenalan kad pengenalan ini berbanding PSS sebelum ini? Menarik juga mendengar pandangan semua pemimpin negeri dalam kerajaan negeri sekarang yang lantang menentang cadangan PSS oleh Kerajaan Pusat sebelum ini,” kata beliau.
Menurut Maduis, UPKO telah menekankan bahawa sebenarnya terdapat empat kategori utama masalah kehadiran pendatang asing di Sabah.
“Saya mencadangkan setiap pemimpin yang bertanggungjawab dan ikhlas dari Sabah untuk memahami perbezaan empat kategori ini sebelum membuat pandangan mereka dan mempolitikkan perkara itu dengan teruk,” katanya lagi.
Menurut beliau, empat kategori masalah pendatang asing di Sabah ialah kemasukan pendatang asing tanpa izin secara berterusan, kehadiran pelarian yang sentiasa berada di negeri ini, status Orang Tanpa Kewarganegaraan dan mereka yang memperoleh kad pengenalan melalui cara yang meragukan.
“Sekiranya tiada pemimpin kita memahami cabaran berbeza yang dikemukakan dan penyelesaian yang diperlukan untuk menyelesaikan empat kategori masalah yang berbeza ini, maka mereka tidak ada urusan untuk memberikan pandangan dengan mempolitikkan perkara itu dan mengelirukan orang ramai lagi.
“Sekiranya Kerajaan Persekutuan ikhlas dalam menyelesaikan masalah yang berlarutan ini dengan kehadiran pendatang ini di Sabah, maka mereka harus memahami dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah tersebut,” kata beliau lagi.
Malah, kata beliau, UPKO tidak mahu pengeluaran kad pengenalan baharu yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri menjadi alat politik untuk mengukuhkan Kerajaan Negeri Sabah hari ini.
“UPKO mahu kerajaan memahami secara serius empat kategori masalah pendatang asing di Sabah dan menyelesaikan setiap masalah tersebut secara menyeluruh bagi memulihkan maruah negara dan negeri Sabah yang berdaulat. Kita perlu tegas mencari penyelesaian untuk manfaat generasi masa depan kita.
“Dengan pengumuman terbaru ini, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat dan Kementerian Dalam Negeri menjelaskan tindakan mengeluarkan kad pengenalan baharu ini kepada warga asing. Penjelasan yang mendalam perlu diberikan bagi mengelakkan rakyat Sabah terkeliru dan ditipu oleh mana-mana pihak,” jelas beliau.
Pertimbangan Kementerian Dalam Negeri
Pada Khamis lalu, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan kad warga asing sebagai dokumen pengenalan diri untuk golongan itu yang tinggal lama di Sabah termasuk kanak-kanak.
Hamzah berkata, pemberian kad ini akan membolehkan semua pihak dan agensi mengenal pasti taraf seseorang itu terutama di Sabah.
Tegasnya, perkara ini penting dalam memastikan sesiapa sahaja yang berada di Malaysia mempunyai dokumen dan identiti pengenalan diri.
“Kad warga asing ini adalah cadangan yang telah diberikan Kerajaan Sabah kepada Kementerian Dalam Negeri dan dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS) Teknikal dan kita rasa ia satu cadangan yang baik.
“Ia penting dalam kita memastikan sesiapa sahaja yang berada dalam negara ini mempunyai dokumen dan identiti,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Hamzah menegaskan pemberian kad warga asing itu bukan bermaksud memberi mereka kad sah warganegara sebaliknya kad perakuan sebagai warga asing.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan pelaksanaan pemberian kad warga asing itu.
“Ini adalah kad pemberitahuan yang mereka adalah warga asing yang tinggal dalam negara. (Dari segi pelaksanaan atau pemberian) pihak pendataan akan melakukan semua.
“Kita beri kad warga asing dan bukannya kad pengenalan. Pada kad itu (nanti) akan tertulis warga asing. Sekurang-kurangnya mereka warga asing,” kata beliau.
Menurut Hamzah, apabila mereka dikenal pasti sebagai warga asing, mereka mungkin boleh digunakan sebagai tenaga kerja dan diberikan kad pekerja.
“Kita lakukan ini bermaksud ada sikap perikemanusiaan dan mereka juga warga dunia, sebagai warga dunia kita harus memberi mereka pengenalan,” katanya.