Jawatan KP Kastam kosong sejak Mac, Perbekas gesa kerajaan lantik segera pengganti

Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) menggesa kerajaan dengan segera melantik Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang kosong sejak akhir bulan Mac lalu.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) menggesa kerajaan dengan segera melantik Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang kosong sejak akhir bulan Mac lalu.

Presiden Perbekas, Datuk Abd Rahman Manan berkata, pihaknya berpendapat kelewatan pihak kerajaan, khasnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melantik Ketua Pengarah Kastam yang baharu kerana jawatan tersebut menyukarkan pegawai dan anggota Kastam untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan teratur kerana ketiadaan ketua untuk dirujuk dan sebagainya.

“Kastam sebagai agensi penguat kuasa dan pemungut hasil kedua terbesar negara agak janggal kerana sudah lebih tiga bulan tiada mempunyai ketua dan perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jawatan itu kini kosong ekoran persaraan Datuk Seri Abdul Latif Abd Kadir, yang tidak dilanjutkan khidmat beliau, pada 24 Mac lalu.

“Perbekas telah menghantar surat kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri meminta beliau campur tangan supaya seorang Ketua Pengarah Kastam dilantik segera yang seboleh-bolehnya terdiri daripada pegawai daripada perkhidmatan Kastam… Skim Penguasa Kastam dengan alasan yang telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dalam salinan surat yang kami lampirkan,” kata beliau.

Tindakan segara pihak kerajaan, kata Abd Rahman yang juga bekas Setiausaha Agung Cuepacs, JPA sangatlah diperlukan demi kepentingan Kastam dan negara supaya jabatan itu dapat menjalankan pengurusan nya dengan lebih terancang dan teratur.

“Kastam adalah agensi kerajaan yang penting dalam urusan memungut hasil terbesar kedua, penguatkuasaan undang-undang (pencegahan penyeludupan) dan keselamatn negara,” kata beliau yang juga Setiausaha Persatuan Bekas Pejawat Awam dan Swasta Malaysia.