KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menjelaskan bahawa peningkatan bilangan pekerja asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan langkah beberapa majikan yang mengejar tarikh akhir untuk membawa masuk pekerja asing mereka di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.
Menurut agensi itu, jumlah ketibaan pekerja asing telah meningkat sejak 22 Mei lalu.
Tarikh akhir RTK 2.0 adalah hari ini.
Katanya, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1,000 orang sehari.
“Bilangan ketibaan mula meningkat sehingga 2,500 orang sehari pada 22 Mei dan seterusnya pada 27 Mei telah meningkat sehingga 4,000 hingga 4,500 orang sehari.
“Jabatan ini menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga 31 Mei 2024 berdasarkan makluman dari syarikat penerbangan yang akan meningkatkan jumlah penerbangan mereka bagi memenuhi permintaan,” kata Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan.
Video klip kehadiran pekerja-pekerja asing terbabit turut tular di media social, malah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan netizen.
Jabatan Imigresen menambah, piaknya akan bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad untuk menangani kesesakan itu.
Langkah yang diambil termasuk menambah bilangan kaunter untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan serta menambah lebih ramai pegawai imigresen untuk menguruskan kemasukan pekerja asing yang besar.
Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya tidak akan melanjutkan tarikh akhir 31 Mei untuk mengambil pekerja asing melalui RTK 2.0.