Isu pencen: UNI-MLC menanti pendirian JPA, PPKM sambut baik keputusan mahkamah

Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen).

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menjelaskan kepada lebih sejuta pesara apakah langkah ke hadapan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung skim pencen baru-baru ini.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pesara kerajaan berhak mengetahui masa depan mereka dalam persaraan mereka.

“JPA mempunyai tanggungjawab yang besar kepada pesara. Ia mempunyai peranan penting untuk dimainkan sekarang dan ia tidak boleh berdiam diri,” kata beliau.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.

Sehubungan itu, panel yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul dalam mengekalkan status quo Seksyen 3 dan 6 iaitu sebelum pindaan 2013.

Mohamed Shafie berkata, keputusan mahkamah adalah satu “keputusan yang mengejutkan”.

“Sejak 2013, semua penjawat awam yang bersara mendapat kenaikan tahunan automatik dua peratus tidak kira gaji terakhir mereka tinggi atau rendah.

“Dengan keputusan mahkamah ini, ia menjadi tanda tanya besar apakah masa depan mereka sekarang.

“Adakah dua peratus yang diberikan dalam tempoh 10 tahun lepas akan diambil semula atau bagaimana? Apakah masa depan mereka, sedangkan majoriti pesara berada dalam kumpulan B40?” kata beliau.

Mengulangi bahawa kenaikan tahunan dua peratus tidak mencukupi, beliau berkata, kerajaan harus melihat pelarasan pencen yang sewajarnya memandangkan cabaran ekonomi.

“Sekarang hampir tiada semakan gaji untuk kakitangan awam, sebab itu kita selalu mendengar kesatuan sekerja menyuarakan tentang pelarasan gaji.

“Pesara tidak mempunyai kenaikan tahunan dan mereka bergantung pada pelarasan pencen untuk menampung peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, kerajaan wajar menyemak semula kadar pencen pesara perkhidmatan awam berdasarkan perkara 147 Perlembagaan Persekutuan bagi membawa perubahan dalam skim gaji golongan itu.

Kata beliau, semakan semula itu perlu supaya selari dengan keputusan mahkamah yang membatalkan Seksyen 3 dan Seksyen 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013.

Katanya, tindakan perlu dilakukan kerana mahkamah mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah berikutan kedua seksyen itu kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam.

“PPKM sangat gembira dan mengalu-alukan keputusan itu kerana kenaikan pencen dua peratus bercanggah dengan perkara 147 Perlembagaan (perlindungan hak pencen) berbanding dengan Akta Pencen 1980 sebelum ini.

“Ini berikutan pengisytiharan batal dan tidak sah kerana ia disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam akta berkenaan.

“Justeru, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan betul dalam mengekalkan Seksyen 3 dan 6 iaitu sebelum pindaan 2013,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Wan Mahmood menjelaskan, sebelum ini beliau dan Pengerusi PTD Alumni menandatangani satu memorandum yang dihantar kepada kerajaan pada 20 April 2016.

“Penyelarasan pencen mengikut Artikel 147 Perlembagaan dinyatakan pada perkara 3.1.2 Perlembagaan.

“Bayaran kepada penjawat awam dilaksanakan menerusi urusan gaji Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002 dan Sistem Saraan Terakhir (SST) pada 2013 dan pesara tidak mendapat apa-apa,” katanya.

Menerusinya pengurusan gaji mengikut kaedah itu, beliau berkata, setiap kali kenaikan gaji kepada penjawat awam pesara tidak dapat kenaikan pencen seperti dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah satu perkara yang tidak adil. Keputusan mahkamah yang membatalkan Seksyen 3 dan Seksyen 7 Akta Penyelarasan Pencen 2013 adalah untuk membetulkan keadaan ini,” katanya.

Katanya, PPKM sebelum ini berulang kali meluahkan perasaan tidak puas hati setiap kali kenaikan dua peratus diberikan.