Isu pencen: Pejasma minta kerajaan laksana pelarasan gaji sektor awam segera, tahun ini

Presiden Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma), Datuk Azih Muda dan Setiausaha Agungnya, Datuk Abd Rahman Manan.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) mahu pelarasan gaji sektor awam dilakukan pada tahun ini bagi mengelakan kerugian berterusan kepada pesara Kerajaan.

Pejasma mengemukakan cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang mengesahkan pindaan Akta Pencen yang membawa kepada pemberian pelarasan dua peratus kepada para pesara setiap tahun sebagai bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Buat sementara menunggu penyelesaian muktamad, kerajaan hendaklah mengadakan pelarasan gaji sektor awam dalam tahun 2023 ini juga bagi
mengelakan kerugian berterusan kepada pesara kerajaan,” kata Presiden Pejasma, Datuk Azih Muda.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat beliau pengerusikan semalam. Turut hadir Setiausaha Agung Pejasma, Datuk Abd Rahman Manan yang bekas Setiausaha Agung CUEPACS.

Azih berkata, mesyuarat telah membuat keputusan itu dan beberapa perkara lain bagi kepentingan dan kebajikan 850,000 pesara tidak termasuk pesara polis dan tentera.

Tambah beliau, pihaknya tidak membantah keputusan mahkamah terhadap tuntutan yang dikemukakan.

Pun begitu kata beliau, pihaknya melahirkan rasa dukacita kerana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan masih tidak dapat menyelesaikan isu yang melibatkan semua pesara Kerajaan secara jelas dan tersusun.

Selain itu kata beliau, pihaknya menyokong tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara dalam isu pencen.

Azih berkata, Pejasma meminta pihak kerajaan, khasnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jawatankuasa atau pasukan petugas khas bagi membuat perakuan kepada kerajaan untuk tujuan penyelesaian secara muktamad.

Barisan kepimpinan Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) yang menghadiri mesyuarat khas semalam.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, justeru mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara turut memutuskan bahawa peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.

Sehubungan itu, panel yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.

Turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzhariah Bujang.

Mohamad Zabidin yang membacakan penghakiman panel itu berkata, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul dalam mengekalkan status quo Seksyen 3 dan 6 iaitu sebelum pindaan 2013.

Katanya, pindaan yang dibuat pada Seksyen 3 dan 7 akta itu menyebabkan Aminah Ahmad selaku responden yang juga seorang pesara penjawat awam di Kementerian Luar mengalami situasi yang kurang memberi manfaat terhadapnya.

“Kami mendapati tiada sebab untuk menyimpang daripada penghakiman Mahkamah Rayuan, oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah JPA dan dengan ini rayuan ditolak.

“Mahkamah tidak membuat perintah mengenai kos kerana ini adalah litigasi kepentingan awam,” katanya.

Aminah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 2017 di atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen menyebabkan keadaan yang agak merugikan kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini mengikut Akta Pelarasan Pencen 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 yang diperkenalkan adalah berdasarkan kadar rata (flat rate) dua peratus kenaikan tahunan.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada Aminah dan mengisytiharkan pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang berkuat kuasa mulai Januari 2013 adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan dengan pengisytiharan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.