Irmohizam, rakyat Malaysia pertama dilantik Pengerusi Konvensyen dan Pameran WTCA

Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Konvensyen dan Pameran (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA) yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Irmohizam merupakan individu pertama di Malaysia yang dilantik menyandang jawatan tersebut selepas WTCA digabungkan menjadi sebuah kumpulan global dunia.

Sebelum ini WTCA membahagikan C&E MAC kepada beberapa buah wilayah iaitu Asia Pasifik, Amerika dan Eropah, Asia Barat dan Afrika.

“Penggabungan ini akan dapat meningkatkan penyertaan acara perniagaan, pameran dan konvensyen dari seluruh anggota WTCA selain turut berharap dapat memberi manfaat kepada seluruh dunia melalui kerjasama mempelbagaikan perkhidmatan industri acara perniagaan setelah terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata WTCKL dalam kienyataan dikeluarkan.

Dalam pada itu, Irmohizam turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah WTCA serta kepimpinan WTC yang memberi keyakinan kepadanya memimpin sebuah organisasi dunia.

“Sebagai rakyat Malaysia dan Bumiputera pertama yang menyandang jawatan tertinggi ini dalam mempengerusikan industri Konvensyen dan Pameran di dunia, saya amat berharap imej negara kita dapat dilihat secara serius dan positif oleh seluruh dunia melalui lebih banyak kerjasama di kalangan ahli WTCA yang lain yang kini berjumlah 326 WTC seluruh dunia.

“Demi membangkitkan semula industri ini sikap keterbukaan dan inklusif oleh setiap ahli adalah wajar,” kata Irmohizam.

Jawatan ini akan disandang selama dua tahun.

Dalam kenyataan itu, WTCKL juga berkata, pihaknya akan terus konsisten untuk menaikkan industri pelancongan dan perdagangan di Malaysia dan juga menyumbang lagi kepada kejayaan industri MICE dan BE secara menyeluruh.

Terdapat potensi sinergi antara negara-negara yang masih belum diterokai sepenuhnya, kata WTCKL.

Kata WTCKLm lagi, ia akan berusaha untuk meneroka strategi kerjasama yang berupaya meningkatkan pertumbuhan pendapatan dengan menggiatkan semula industri pelancongan dan perdagangan di Malaysia secara konsisten dengan menyokong kerjasama dalam bentuk gelembung perjalanan dalam kalangan negara anggota.

“MAC juga komited untuk kekal relevan melalui peningkatan penglibatan, advokasi dan penjenamaan; mewujudkan kesedaran; membina rangkaian baharu; serta mencipta kaedah baharu untuk memacu lebih jauh agar acara perniagaan boleh menjadi satu bentuk ekonomi baharu bagi jenama WTCA,” katanya lagi.