KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima anugerah World Digital Economy Corporate CEO Lifetime Achievement sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi Digital Dunia (WDETS) di sini.
WTCKL mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Irmohizam atas penghormatan dan pengiktirafan berprestij tersebut.
“Pencapaian ini sudah pasti akan membawa WTCKL ke tahap yang lebih tinggi.
“Motivasi Datuk Seri Dr Irmohizam untuk menerima teknologi dan inovasi telah membolehkan WTCKL berkembang lebih jauh dan mempercepatkan pertumbuhan dalam Acara Perniagaan (BE) dan Industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE),” kata WTCKL dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu menambah, ia membolehkan industri memperoleh semula momentum prapandemik mereka.
“Diharapkan dengan penganugerahan ini Datuk Seri Dr Irmohizam akan terus cemerlang dalam menerajui industri BE Malaysia ke persada dunia,” katanya lagi.
WDETS berlangsung dari 28 hingga 29 Jun.
WDETS dianjurkan bersama KSI Strategic Institute for Asia, Pacific Basin Economic Council (PBEC) dan Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL).
Secara keseluruhan, 38 anugerah telah diserahkan di bawah dua kategori, iaitu The World Digital Distinguished Entrepreneur Lifetime Achievement Awards dan Corporate Excellence Awards.
Dalam pada itu, WTCKL menambah, anugerah tersebut memberi mesej penting akan peranan ekonomi digital dalam masyarakat kini terutama selepas pandemik COVID-19 yang merupakan alat yang mudah untuk kemajuan positif serta membantu berdepan dengan situasi krisis.
Menurut WTCKL, dengan capaian internet yang lebih baik di seluruh dunia, kemahiran digital yang diterima pakai, merentas seluruh komuniti serta kaedah komunikasi baharu, banyak perniagaan dapat mengatasi dan mengharungi krisis tersebut.
“Penerimaan teknologi baharu dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi telah membuka jalan kepada banyak perniagaan untuk terus berjalan, menyusun semula strategi, menggunakan kaedah baharu dan mengambil langkah yang perlu untuk mencipta semula perniagaan mereka.
“Akses pantas kepada maklumat yang tepat dan data masa nyata juga telah membantu perniagaan untuk membuat keputusan yang lebih tepat,” katanya.