Indeks Persepsi Rasuah: Anwar yakin kedudukan Malaysia lebih baik tahun depan

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dari 2012 hingga 2022. – Sumber TI-M

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antarabangsa akan berada dalam keadaan lebih baik pada tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menyedari kedudukan yang merosot itulah maka kerajaan mengambil pelbagai tindakan tegas bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Sekarang ini mesej kita (kerajaan) adalah jelas. Saya percaya pada tahun depan akan ada perbezaan besar,” kata beliau kepada wartawan pada Majlis Sukan Negara di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan terkini negara dalam CPI itu menunjukkan ada masalah besar sedang dihadapi secara meluas, dari peringkat atasan sehingga ke bawah.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan perlu bertindak tegas dan tidak bertolak ansur.

“Kerajaan ini masih baru lagi, tapi insya-Allah kita boleh (membaiki kedudukan) secara konsisten dan memberikan dukungan penuh kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” kata beliau.

Laporan Transparency International (TI) menunjukkan kedudukan negara jatuh buat tahun ketiga berturt-turut.

Malaysia mendapat 47 mata daripada keseluruhan 100 mata. Pada 2021 negara ini mendapat 48 mata, berbanding 51 mata pada 2020 dan 53 mata pada 2019.

Ia menunjukkan Malaysia jatuh enam mata pada tahun lepas.

Presiden TI Malaysia, Dr Muhammad Mohan berkata data menunjukkan negara ini menuju ke arah yang salah dalam kempen melawan rasuah, mendukung hak asasi dan demokrasi dalam sektor awam.