KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya sejak tahun 2012, Malaysia dikelompokkan antara dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100, hanya skor 48 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021.
Skor yang rendah itu juga menjadikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 48 berbanding skor sebanyak 51 peratus pada tahun sebelumnya.
“Skor Malaysia adalah 48 pada 2021. Kalau dilihat pada Barometer CPI, kita bergerak ke arah markah yang lebih rendah dan itu adalah tidak bagus,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, negara yang menduduki tangga teratas dalam CPI itu ialah Denmark, New Zealand dan Finland yang semuanya mencatatkan skor 88 daripada 100.
Bagi kedudukan di Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Singapura dan Brunei diikuti Indonesia di tangga keempat dan Thailand pula di kedudukan kelima.
Analisis dikeluarkan oleh Transparency International-Malaysia (TI-M) hari ini menyenaraikan beberapa faktor dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan itu:
- Tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di Malaysia.
Sebagai contoh, Akta Pembiayaan Politik yang dijadualkan akan dibentang di Parlimen oleh dua kerajaan sebelum ini masih belum terlaksana.
Juga, draf Rang Undang-undang IPCMC telah ‘dilonggarkan’ kepada versi yang tidak efektif, dan dijenamakan semula sebagai Rang Undang-undang IPCC.
Yang tragisnya, kes-kes kematian dalam tahanan masih berlaku di lokap polis walaupun selepas RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dijalankan pada tahun 2015.
- Kurang kehendak dalam memperbaharui SPRM menjadi institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen.
- Tafsiran yang terlalu longgar terhadap Akta Rahsia Rasmi yang membawa kepada kurangnya ketelusan dalam hal berkepentingan awam seperti kontrak rundingan secara langsung.
- ‘Melepaskan Tanpa Membebaskan’ sesetengah individu yang didakwa dalam kes berprofil tinggi.
Ia memberikan persepsi negatif tentang perjalanan proses undang-undang di Malaysia. Penjelasan yang lebih jelas daripada Jabatan Peguam Negara adalah penting dalam mengurangkan persepsi sedemikian. - Kemajuan yang terhad dalam kemaskini awam mengenai kes berprofil tinggi seperti kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Skandal Air Sabah dan Kapal Tempur Littoral yang masih tergantung dan tiada khabar selanjutnya.
- Kekurangan hasil yang boleh diukur dilihat daripada NACP (Pelan Anti-Rasuah Nasional) yang merupakan dokumen komprehensif dengan inisiatif dan sasaran yang jelas.
TI-Malaysia menyeru agar Ketua Setiausaha Negara diberi kuasa untuk memimpin usaha pelaksanaan dan dipertanggungjawabkan dalam memastikan segalanya berjalan lancar.
Namun, malang sekali kemajuan amat terhad dalam hal ini.
- Penggantungan Parlimen dalam tempoh PKP (perintah kawalan pergerakan) menyebabkan pakej rangsangan ekonomi yang besar jumlahnya telah diteruskan tanpa perbahasan dan penelitian parlimen.
- Laporan negatif berterusan mengenai salah laku dan tadbir urus yang lemah pegawai kerajaan dalam laporan Ketua Audit Negara yang kelihatan berulang-ulang namun tidak diambil tindakan tatatertib.
Sudah tiba masanya untuk penggubal undang-undang dari kedua-dua pecahan parti politik untuk menyokong tambahan dalam peruntukan Akta SPRM untuk “Salah Laku Penjawat Awam” untuk memastikan pegawai kerajaan bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan mereka.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru semua pihak untuk menjalin kerjasama dalam meningkatkan skor CPI.
Seruan itu dinyatakan badan berkenaan susulan pengumuman CPI 2021 yang menunjukkan skor Malaysia turun daripada 51 ke 48 iaitu penurunan berturut-turut sejak 2019.
“SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan jalinan kerjasama dan sehaluan di samping mempunyai iltizam politik untuk menambah baik usaha pencegahan rasuah di negara ini kerana Suruhanjaya ini tertakluk kepada bidang kuasanya sebagai agensi penguat kuasa,” kata SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Buat pertama kalinya sejak 2012, Malaysia dikelompokkan antara dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100, hanya skor 48 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021.
Skor yang rendah itu juga menjadikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020.
Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri ketika CPI negara terus menunjukkan kejatuhan saban tahun.
Kata beliau, rakyat juga perlu dipertanggungjawabkan kerana tidak bertindak biarpun kedudukan Malaysia semakin tidak memuaskan.
“Saya tahu ramai yang akan marah apabila saya cakap begini tetapi rakyat juga bertanggungjawab kerana kita berdiam diri.
“Jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020, dalam senarai 180 buah negara, ini bukan perkara yang boleh dibanggakan dan kita tidak boleh terus in denial (menafikannya).
“Pada 2019 kedudukan kita agak baik sedikit kerana adanya Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC). Sekarang pun masih ada tapi kita tidak tahu perkembangan kerana tiada kemas kini.
“Tindakan SPRM ketika itu meneruskan siasatan kes-kes besar merupakan satu perkara positif, walaupun nampak macam kita banyak kes rasuah tetapi ini mampu beri jangka panjang dalam membersihkan negara dari rasuah,” kata beliau.