i-Citra: Desakan bantu mangsa berterusan, KWSP kata wajar dihentikan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendirian i-Citra wajar diberhentikan bagi membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka.

KUALA LUMPUR: Ketika beberapa mahu pengeluaran i-Citra dibolehkan bagi membantu mangsa banjir, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendirian skim itu wajar diberhentikan bagi membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, KWSP berkata, kepelbagaian bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalah dialu-alukan semasa waktu sukar ini, justeru sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah dianggap tidak perlu.

Katanya, KWSP adalah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

“Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Walau bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” kata KWSP dalam satu kenyataan.

KWSP berkata, pihaknya berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja di Malaysia dan mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.

Ia berkata, ketika negara sedang membina semula ekonomi dan orang ramai telah kembali bekerja, tumpuan utama kini adalah untuk memulih dan membina semula simpanan KWSP.

Katanya, fokus KWSP kini adalah untuk terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, dan memastikan ahli turut memulihkan dan membina semula simpanan persaraan mereka bagi menjamin persaraan yang selesa.

Perdana Menteri perlu mendengar rintihan rakyat dan bukannya nasihat Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pengeluaran KWSP.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengeluaran KWSP i-Citra RM10,000 itu sangat penting berikutan bantuan yang diberikan belum mencukupi terutama bagi mereka yang mengalami musibah banjir.

Ujarnya, Pemuda telah cuba sedaya upaya melalui pelbagai cara membawa suara rakyat termasuk bertemu sendiri dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Menteri Kewangan bahkan Perdana Menteri sendiri berhubung pengeluaran i-Citra.

kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 sekali lagi walaupun didesak beberapa pemimpin politik selepas rakyat berdepan bencana banjir.

Perdana Menteri berkata ia berikutan kerajaan sudah menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat dan individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

Dalam kenyatannya, KWSP menambah, pihaknya amat bersimpati dengan rakyat Malaysia berikutan kejadian banjir. Sebagai organisasi yang bertanggungjawab dari segi sosial, KWSP dan organisasi lain perlu memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan masyarakat.

Oleh yang demikian, tambah, KWSP, melalui penyertaannya di bawah Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), telah menawarkan sokongannya melalui sumber di bawah keupayaannya, termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana peruntukan berkenaan adalah daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan.

Katanya, bantuan akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal bukan untung yang berkredibiliti.

KWSP menambah, skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

Ia menjelaskan, setakat Oktober 2021, sebanyak RM101 bilion dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran ini. Ini adalah bersamaan 22 peratus daripada RM530 bilion pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

KWSP berkata, walaupun skim pengeluaran itu memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan PKP, ia menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000, sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli.

Ia berkata, majoriti mereka yang membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dalam kalangan Bumiputera.

“Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan dua juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Selain penyusutan pendapatan masa depan individu, KWSP juga bimbang bahawa ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukannya sebagai organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

Sebagai pemegang amanah, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak.

“Sehingga kini, terdapat lebih RM270 bilion simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang sudah mencapai umur lebih 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih RM1 juta dalam akaun KWSP mereka.

“Dibimbangi bahawa kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak akan memberikan impak yang negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP adalah tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara,” katanya.

KWSP berkata, pengurusan keselamatan pendapatan hari tua kekal sebagai mandat utama dan panduan kepada pengurus dana persaraan itu dalam membangunkan strategi penjagaan dana warga emas yang sistemik.

Ia berkata, Malaysia mempunyai sembilan tahun saja lagi untuk mencapai status negara menua pada 2030.

Katanya, jumlah warga emas yang memerlukan sokongan kerajaan akan meningkat secara mendadak daripada 3.5 juta pada 2021 kepada 5.3 juta ataupun 15 peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2030 dan 7.4 juta ataupun 21 peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2042, seterusnya memberikan cabaran dalam merangka dasar dalam aspek seperti pekerjaan, jaminan pendapatan dan penjagaan kesihatan.

“Ini menyerlahkan lagi kepentingan mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan,” kata KWSP.