HWCITF sahkan wujud isu buli dan budaya kerja kurang sihat di Kementerian Kesihatan

Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) mengesahkan terdapat isu buli dan ‘burnout’ serta budaya kerja kurang sihat di Kementerian Kesihatan.

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) mengesahkan terdapat isu buli dan ‘burnout’ serta budaya kerja kurang sihat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam laporannya, ia berkata, didapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah ia berlaku merentasi keseluruhan taburan warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung.

“Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” kata HWCITF.

HWCITF ditubuhkan susulan kematian Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Pulau Pinang akibat bunuh diri.

Kata Pasukan Petugas Khas itu, meskipun adanya dasar, garis panduan dan peraturan berkaitan pengurusan dan saluran aduan di KKM, pihaknya mendapati ia perlu ditambah baik dan diperkukuhkan bagi memastikan elemen kerahsiaan diterapkan dalam proses pengurusan aduan untuk memberi keyakinan kepada pengadu.

HWCITF mengesyorkan pendekatan yang lebih berstruktur untuk pengurusan latihan PPS melalui pematuhan dan pemantapan standard dan garis panduan sedia ada.

Di samping itu, kata HWCITF, fokus untuk mengoptimumkan bilangan sumber manusia mengikut keperluan semasa dan menaik taraf kemudahan serta infrastruktur di fasiliti KKM perlu dititikberatkan.

“Pendigitalan proses kerja secara menyeluruh juga dilihat sebagai salah satu langkah penting untuk mengurangkan beban tugas, sekali gus memantapkan kualiti penyampaian perkhidmatan di KKM,” kata HWCITF.

Semakan semula Nilai Teras KKM dicadangkan sebagai satu inisiatif baharu bagi memupuk rasa bangga dan keutuhan matlamat dalam kalangan warga kerja KKM.

“Penglibatan bersama rakan strategik luar juga disyorkan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan khususnya kesihatan mental,” tambah HWCITF.

Selain itu, ia mengesyorkan tindakan berikut:

SYOR 1: Semakan Visi, Misi dan Nilai Teras Kementerian Kesihatan Malaysia Mengikut Perkembangan Semasa

SYOR 2: Mengkaji Semula Struktur dan Menyegerakan Penggunaan 5.2 Sistem Myhelp

SYOR 3: Pengintegrasian Sistem Digital Sedia Ada

SYOR 4: Kajian dan Semakan Semula Dasar, Polisi dan Garis Panduan

SYOR 5: Struktur Jawatankuasa Kelayakan Perubatan (JKP)

SYOR 6: Melaksanakan Prasaringan Calon

SYOR 7: Pengukuhan/Penetapan Standard Untuk Latihan PPS

SYOR 8: Penambahbaikan Sistem e-Housemen

SYOR 9: Penyeragaman Program Transformasi Minda (PTM) dan Orientasi Hospital

SYOR 10: Penubuhan Kumpulan Sokongan PPS dan Lain-Lain Perkhidmatan

HWCITF menjelaskan bahawa kerjaya dalam perkhidmatan perubatan amat mencabar dan memerlukan individu yang benar-benar komited dan sanggup melalui latihan dan cabaran persekitaran pekerjaan.

“Mereka juga harus bersedia untuk berhadapan dengan beban kerja yang tinggi dan tempoh waktu kerja yang lama,” katanya.

Oleh itu, menurut HWCITF, satu sistem saringan yang padu diperlukan bagi memastikan individu yang benar-benar berminat dan cekal melaluinya sahaja yang terpilih menyertai skim perkhidmatan kesihatan.

“Cadangan penambahbaikan budaya kerja mestilah tidak memberi kesan negatif kepada kualiti pegawai perubatan dan perkhidmatan mereka.

“Ini kerana terdapat ramai lagi pegawai perubatan yang dilatih dalam suasana yang kondusif dan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit,” katanya lagi.

HWCITF telah ditubuhkan pada 13 Mei lalu dan laporannya telah diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 11 Ogos lalu.

Penubuhan HWCITF merupakan susulan daripada insiden kematian seorang PPS di HPP pada 17 April lalu. Ia terdiri daripada sembilan orang ahli mewakili pelbagai bidang kepakaran, iaitu Naib Canselor UCSI, Profesor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir selaku Pengerusi, Dato’ Hamidah Naziadin, Profesor Dr. Zabidi A. M. Hussin, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla, Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, Dr. Chong Su- Lin, Manvir Victor, Sivaramkrishnan Balasubramaniam dan Datin Setia Nik Roslini Raja Ismail.