PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengucapkan Salam Hari Pekerja kepada seluruh pekerja di Malaysia, tidak kira sektor dan bidang mereka ceburi.
Para pekerja yang sinonim dengan sumbangan bernilai mereka dalam proses pembangunan negara meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, ujian dan dugaan, menyambut kehadiran 1 Mei 2024 dengan harapan agar hak dan kebajikan mereka akan ditambah baik demi memastikan kelangsungan hidup mereka.
Meskipun terdapat beberapa perkembangan positif sejak kebelakangan ini, usaha, tindakan dan dasar buruh semasa perlu ditambah baik untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan tenaga kerja.
UNI-MLC berpendirian bahawa masih terdapat banyak aspek yang perlu ditambah baik dalam memastikan kebajikan para pekerja, aset penting negara, terus dipelihara.
Oleh itu, UNI-MLC berharap pihak berkuasa dan para majikan akan mengutamakan perkara-perkara berikut, dan mengambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara holistik dengan segera.
- Gaji Minimum vs Gaji Progresif – UNI-MLC mengalu-alukan dasar Gaji Progresif yang diumumkan untuk diperkenalkan pada tahun 2023, yang dilaporkan bertujuan untuk menaikkan martabat para pekerja di Malaysia. Meskipun begitu, para pekerja mengharapkan satu garis panduan yang jelas dan konkrit agar pelaksanaannya kelak tidak meminggirkan atau menafikan kepentingan para pekerja Malaysia. Kita tidak mahu dasar gaji yang pernah diperkenalkan sebelum ini, yang tidak membawa manfaat menyeluruh, terus merugikan para pekerja.
- Impak Ledakan Digitalisasi dan Teknologi Ke Atas Pekerja – Dunia hari ini menjurus kepada automasi yang merupakan ancaman utama kepada sektor sumber manusia. Justeru itu, sudah tiba masa bagi Malaysia untuk mempunyai dasar bagi menjaga kepentingan sumber manusia di alam pekerjaan. Misalnya, 30% automasi 70% pula manusia. Institusi pengajian tinggi menghasilkan ramai graduan tapi penawaran pekerjaan sangat tidak setara. Aspek automasi dan AI turut makin membimbangkan. Banyak pekerja dan pekerjaan terancam. UNI-MLC bukan menolak teknologi baharu, tetapi kepentingan sumber manusia tidak harus dipinggirkan. Maka, perlu ada dasar yang dapat menjaga kepentingan dan hak pekerja di era digitalisasi.
- Isu Pencen Minimum Bagi Bekas Pekerja-pekerja GLC – Kerajaan perlu mempercepatkan kajian dan melaksanakan pencen minimum bagi lebih 100,000 pesara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Kerajaan perlu mengkaji semula kadar bayaran pencen yang rendah kepada pesarapesara GLC kerana mereka menerima pencen di bawah paras kemiskinan pada hari ini. Perkara ini telah dikemukakan kepada Kerajaan lebih 15 tahun lalu. Malangnya tiada respons sehingga kini. Kerajaan Madani diharap akan menyelesaikan isu ini secara menyeluruh.
- Kenaikan Gaji Tahunan Minimum – Kerajaan wajar melaksanakan dasar kenaikan gaji tahunan minimum RM100 kepada pekerja-pekerja kumpulan B40. Sudah tiba masa bagi Kerajaan mengambil tindakan ini selaras dengan pengumuman semakan semula kadar gaji minimum, yang sepatutnya disemak semula pada tahun 2024. Kadar kenaikan tahunan sepatutnya lebih munasabah dengan mengambil kira situasi semasa demi sumbangan para pekerja negara ini.
- Jurang Perlindungan Bagi Pekerja-Pekerja di Sabah dan Sarawak Berbanding di Semenanjung – Sehingga kini Ordinan Buruh Sarawak dan Sabah masih belum diselaraskan dengan peruntukan-peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022), yang menyebabkan banyak faedah diperoleh oleh pekerja-pekerja di Semenanjung belum dirasai oleh pekerja-pekerja di Sabah dan Sarawak. Dasar perlindungan yang sama rata untuk pekerja di seluruh negara perlu diperkenalkan.
- Menaikkan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) UNI-MLC mengulangi keperluan mendesak untuk menaikkan caruman, khususnya di pihak majikan, dan usaha ini perlu mengimbangkan keperluan simpanan jangka panjang dan pengenalan Akaun Fleksibel yang diumumkan minggu lalu. Akaun Fleksibel hendaklah dikawal dan perkara asas adalah gaji pekerja perlu dinaikkan dan caruman ditingkatkan. Penambahbaikan yang disarankan ini perlu untuk memenuhi keperluan jangka panjang golongan pekerja.
- Keselamatan Sosial Pekerja – Pengujudan skim keselamatan sosial pekerja perlu diperluaskan bagi mengimbangi keperluan hidup seperti peningkatan kos perubatan. Negara perlu ada skim keselamatan bekerja seperti SBK, SIP, SPS serta SKSSR. Statistik menunjukkan lebih 30,000 permohonan bencana kerja ditolak setiap tahun. Oleh yang demikian sudah sampai masa untuk Malaysia wujudkan skim bukan bencana kerja yang boleh memberi manafaat kepada golongan pekerja terutamanya B40.
- Menambah Baik Skop Perlindungan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja – Meningkatkan kebajikan dan keselamatan pekerja adalah matlamat yang sangat penting dengan memperkenalkan program latihan keselamatan, menawarkan insentif untuk pekerja yang mematuhi prosedur keselamatan, dan memperbaiki infrastruktur tempat kerja demi mengurangkan risiko kecederaan. Selain itu, memberikan sokongan kesihatan mental kepada pekerja juga penting untuk kebajikan pekerja.
- Menaikkan Usia Persaraan Wajib dan Tarikh Kuat Kuasa Persaraan Wajib – Negara perlu mengkaji semula umur persaraan wajib 60 tahun sekarang kepada 65 tahun selari dengan keperluan
sosioekonomi rakyat dan negara. Selain itu, perlu ada dasar baharu berkaitan tarikh kuat kuasa persaraan wajib. Pada masa sekarang, pekerja disarakan apabila mereka mencapai umur 60 tahun. Oleh itu, dasar semasa ini hendaklah disemak bagi membolehkan pekerja bekerja sehingga mereka lengkap 60 tahun, dan bukannya ketika permulaan umur
60 tahun. Kerajaan perlu mengkaji umur persaraan yang kini pada tahun ke-60. Kedua-dua perkara ini akan membolehkan sumber tenaga kerja digunakan dengan optimum. - Skop Perlindungan Cuti Sakit. Di bawah peruntukan semasa, skop perlindungan cuti sakit hanya menyentuh Cuti Sakit biasa sama ada dimasukkan ke hospital atau tidak, maksimum 60 hari dalam setahun. Namun, ia tidak menyentuh langsung cuti bagi sakit berpanjangan atas sebab kemalangan atau sakit-sakit kategori lain, yang memerlukan lebih 60 hari rawatan. Walaupun sesetengah pekerja diberikan kemudahan di bawah Perjanjian Kolektif (CA) masing-masing, namun masih ramai pekerja berkhidmat tanpa CA dan akhirnya gaji mereka dipotong oleh majikan selepas jumlah dibenarkan atau dipersetujui habis digunakan. Justeru itu, penambahbaikan Seksyen 60f Akta Kerja amat diperlukan.
- Penafian Skim Pencen Kepada Pekerja BSN – Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dengan mengadakan siasatan berkaitan isu penafian pencen bagi pesara-pesara Bank Simpanan Nasional (BSN). Meskipun pelbagai usaha telah diambil oleh kesatuan sekerja pekerjapekerja BSN dan UNI-MLC, tidak ada perkembangan atau respons positif daripada pihak majikan dan Kerajaan. Kerajaan perlu mengkaji status pencen bekas pekerja-pekerja BSN susulan dasar mengkorporatkan BSN lebih dua dekad lalu. Tuntutan pencen pesara-pesara BSN dari tahun 1992 yang cukup 10 tahun perkhidmatan di dalam Kerajaan yang bertaraf tetap dan berpencen apabila mencapai umur 40 tahun tidak disarakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980 (Akta 227/239).
- Kemudahan Pusat Tadika/Taska – Mewajibkan setiap majikan menyediakan kemudahan tadika/taska tertakluk kepada majikan yang mempunyai 50 orang pekerja dan lebih. Langkah ini penting bagi
memudahkan pekerja, sekali gus meningkatkan produktiviti di tempat kerja dan mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja. - Utamakan Penggunaan Pekerja Tempatan – Mendesak majikan mengutamakan dan mengambil pekerja tempatan berbanding tenaga kerja warga asing. Perlu ada satu dasar baharu sesuai dengan keperluan semasa dengan memfokus kepada dasar kebajikan dan hak pekerja lebih baik terutama daripada segi gaji dan upah.
UNI-MLC meletakkan harapan yang tinggi di pihak Kerajaan Madani dan Majikan agar akan mengambil tindakan serius dan holistik dengan segera bagi menyelesaikan kesemua perkara yang digariskan sempena Hari Pekerja 2024 demi memartabatkan hak, kebajikan dan kepentingan pekerja di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, UNI-MLC mahu satu tindakan holistik bagi menangani pelbagai isu dan masalah yang melanda pekerja-pekerja di Malaysia. Kita tiada pilihan kecuali menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh UNI-MLC jika ingin melihat persekitaran kerja yang lebih harmoni, kondusif dan berkualiti.
Isu-isu yang dibangkitkan ini telah lama berlarutan, dan memerlukan keutamaan tindakan efektif di pihak Kerajaan dan Majikan yang menjadi tempat harapan rakyat dan pekerja.
Selari dengan konsep Malaysia Madani, UNI-MLC mengharapkan pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi wajah baharu kepada para pekerja, di kedua-dua sektor awam dan swasta.
UNI-MLC menyambut pendekatan yang dibawa oleh YB Menteri Sumber Manusia, Steven Sim sejak menerajui Kementerian Sumber Manusia. UNI-MLC yakin bahawa kepimpinan Perdana Menteri dan
Menteri Sumber Manusia mampu membawa satu perubahan besar ke atas kebajikan pekerja di Malaysia sebagaimana diharapkan oleh UNI-MLC.
Salam Hari Pekerja 2024
Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)