KUALA LUMPUR: Bekan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, industri perbankan perlu memainkan peranan mereka kepada negara dengan berkongsi pencapaian peningkatan keuntungan daripada tahun lalu dengan mengecualikan faedah semasa moratorium pinjaman bank.
Kata beliau, industri perbankan dijangka menambah keuntungan mereka secara ketara tahun ini berbanding tahun 2019, seperti yang ditunjukkan oleh keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk suku kedua berakhir 30 Jun lalu, meningkat dua kali ganda kepada RM1.96 bilion daripada RM941.73 juta tahun lalu.
“Maybank mencatatkan keuntungan bersih RM2.39 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM2.05 bilion tahun lalu,” kata beliau menerusi catatan Facebook hari ini.
Maybank mencatat keuntungan yang lebih baik berbanding tahun lalu untuk separuh tahun pertama tahun ini. Turut mengumumkan prestasi kewangan lebih baik pada minggu ialah RHB Bank dan Public Bank Berhad.
Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, “berapa banyak syarikat yang akan berada di zon selesa yang sama seperti Maybank dalam menikmati keuntungan yang lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu?”
Oleh itu kata beliau, industri perbankan perlu berkongsi nasib baik mereka dengan pelanggan mereka dengan mengecualikan pembayaran faedah semasa tempoh moratorium pinjaman.
“Mengambil faedah dan keuntungan daripada peminjam yang mengalami kesusahan bukanlah cara ‘Keluarga Malaysia” seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri yang baharu,” kata beliau.