Graduan TVET diminta daftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia bagi tingkat profesionalisme

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) pada 23 Januari lalu. – Foto Ihsan Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bersetuju agar para graduan progran TVET supaya berdaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MTVET yang berlangsung pada 23 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, MBOT berkata, langkah tersebut bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme, sekali gus meningkatkan produktiviti industri melalui pembangunan kapasiti dan bakat.

“Dalam mesyuarat tersebut, MBOT telah membentangkan kertas berkaitan peranan MBOT dalam memperkasa graduan TVET,” kata kenyataan itu.

Mesyuarat MTVET telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah kenyataan itu, dalam memastikan kualiti graduan TVET, mereka turut digalakkan untuk mendapatkan nilai tambah dengan menyertai program-program latihan dan pembangunan berterusan anjuran MBOT atau MBOT Approved Training Provider.

Sehubungan dengan itu, katanya, MBOT mempelawa semua institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran awam dan swasta untuk mendaftarkan graduan mereka dengan MBOT sebagai Juruteknik Berkelayakan atau Teknologis Berijazah.

MBOT merupakan sebuah badan profesional yang memberikan pengiktirafan profesional kepada Teknologis dan Juruteknik dalam bidang teknologi dan teknikal. Lembaga itu telah ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 untuk mengiktiraf, mengawal, menggalak dan membangunkan profesion teknologis dan juruteknik sebagai profesion ikhtisas.