Goodyear tutup kilang tayar di Malaysia Jun ini, bakal jejas 500 pekerja

Salah satu pengeluar tayar terkemuka negara, Goodyear memutuskan untuk menutup kilangnya di Shah Alam mulai 30 Jun ini, langkah yang bakal menjejaskan nasib kira-kira 550 pekerja.

KUALA LUMPUR: Salah satu pengeluar tayar terkemuka negara, Goodyear memutuskan untuk menutup kilangnya di Shah Alam mulai 30 Jun ini, langkah yang bakal menjejaskan nasib kira-kira 550 pekerja.

Presiden Asia Pasifik Goodyear, Nathaniel Madarang berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada program “transformasi” untuk mengurangkan kos dan kekal berdaya saing dalam pasaran.

“Goodyear Forward ialah program transformasi yang direka untuk mengoptimumkan jejak dan portfolio kami, menyampaikan pengembangan margin yang ketara dan mencipta nilai pemegang saham.

“Program ini termasuk tindakan khusus untuk menyampaikan pengurangan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.7 bilion) menjelang 2025, memastikan kami kekal berdaya saing dan berada di kedudukan sebagai peneraju industri,” kata beliau dalam surat edaran kepada para pekerjanya.

Kata beliau, sebagai sebahagian daripada usaha itu, Goodyear telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu untuk menutup kilangnya di Malaysia.

Proses penutupan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

“Keputusan ini tidak dibuat secara mudah, tetapi kami perlu mengambilnya untuk memajukan kepentingan jangka panjang perniagaan dan pelanggan kami,” kata beliau.

Kata beliau, kira-kira 550 jawatan dalam operasi mereka di Malaysia akan ditangani dengan hormat dan telus.

Operasi Goodyear di Malaysia bermula sejak 1908 apabila The Goodyear Orient Company, sebuah firma pembelian getah, ditubuhkan di Singapura untuk membeli getah daripada ladang di Malaysia dan Indonesia.

Penjualan produk Goodyear di Malaysia bermula pada tahun 1929 melalui pejabat Goodyear Sales Company, yang ditubuhkan di Singapura.

Tayar Goodyear juga dipasang dalam kereta keluaran tempatan pertama Malaysia, Proton Saga pada tahun 1985.

Kata beliau, pihaknya akan terus memenuhi keperluan pasaran tempatan dengan tayar yang diimport dari kilangnya di Thailand, Indonesia, China dan Taiwan.

Dalam pada itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pihaknya sedang mengambil langkah proaktif berhubung rancangan Goodyear untuk menutup kilangnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MITI dan MIDA berkata Goodyear dan pemegang sahamnya telah bekerjasama rapat dengan kerajaan sebelum keputusan itu diumumkan kepada umum.

“Campur tangan ini adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menyokong tenaga kerja tempatan kami melalui perubahan industri yang transformatif, menggunakan kerjasama yang berjaya sebelum ini dengan syarikat yang melakukan rasionalisasi yang sama sebagai sebahagian daripada rancangan perniagaan mereka untuk penutupan atau pengecilan saiz, memastikan pekerja berada pada kedudukan yang baik untuk baharu dan peluang pekerjaan baru.”

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempertahankan Putrajaya berhubung dakwaan bahawa kerajaan gagal mengekalkan pelabur asing, yang menyaksikan hantaran tular di media sosial yang mendakwa Goodyear Malaysia akan menutup kilangnya yang berusia 52 tahun di Shah Alam.

Menurut Amirudin, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang Goodyear memutuskan untuk menutup operasinya.

Sebaliknya, laporan tahunan syarikat pembuat tayar itu menunjukkan bahawa Goodyear juga telah memberhentikan pekerjanya di beberapa benua dan menutup kilangnya di Ohio, AS tahun lalu.

“Bila saya semak pagi tadi selepas berita (mengenai penutupan kilang Goodyear di Shah Alam) ini keluar, rupanya Goodyear telah menutup kilang di Oakland,Ohio yang mempunyai 500 pekerja pada tahun 2023,

“Goodyear juga telah melakukan restructuring drive (tindakan penstrukturan) pada Sept 2023 untuk memotong 1,200 pekerjanya di Eropah timur, Afrika dan di Asia.

“Ini dilakukan kerana Goodyear tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat lain seperti Bridgestone,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Malah menurut Amirudin, Goodyear terpaksa menstruktur semula perniagaannya kerana kos yang tinggi dan memilih untuk memindahkan operasi ke negara seperti Vietnam kerana kos buruh yang lebih murah.

Katanya, ia merupakan fakta yang perlu dipertimbangkan dan diterima oleh semua orang dan adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan susulan keputusan syarikat terbabit.