Gaji minimum RM1,500 majikan kurang lima pekerja kuat kuasa hari ini

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja akan dikuatkuasakan mulai hari ini, kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

“Keputusan penangguhan itu dibuat sebelum ini setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun depan,” kata beliau.

Ini merupakan satu ketetapan kerajaan pada akhir tahun lalu selepas majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibenarkan menangguhkan pemberian gaji minimum terbabit sehingga enam bulan.

Pelaksanaan gaji minimum baharu diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan pada 27 April tahun yang sama.

Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 dikuatkuasakan 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Pada 31 Disember lalu, Sivakumar menafikan penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 ke atas majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibuat tanpa persetujuan Kabinet.

Menurut beliau, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu terakhir tahun lalu.

Ketika itu wujud dakwaan bahawa beliau membuat keputusan sendiri berhubung penangguhan itu setelah dipengaruhi majikan.

Antara yang membuat dakwaan itu ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan yang turut mendakwa penangguhan itu bukan diputuskan kabinet.

Arutchelvan mempersoalkan jika Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mempunyai “pengaruh” terhadap Sivakumar.

Majikan yang mempunyai kurang lima pekerja pada mulanya dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minimum sehingga 1 Januari 2023. Dasar itu berkuat kuasa bermula 1 Mei 2022.

Penangguhan itu dilanjutkan lagi sehingga 1 Julai tahun ini.

Keputusan itu mengundang kekecewaan pihak seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) yang mendakwa ia dibuat tanpa perbincangan dengan kumpulan pekerja.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor menyifatkan perbuatan itu sebagai tanda tidak hormat kerajaan terhadap pekerja.

Pengerusi bersama LLRC N Gopal Kishnam pula mengingatkan kerajaan tentang manifesto PH bagi PRU 2018 untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dengan berkongsi perbezaan kos sebanyak RM500 secara sama rata dengan majikan.