Gaji minimum RM1,500 kuat kuasa 1 Mei diwartakan secara rasmi pada 27 April

Muka depan warta gaji minimum baharu RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei, ia diwartakan secara rasmi pada 27 April.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan menangguhkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM 2022).

Gaji minimum baharu RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei diwartakan secara rasmi pada 27 April.

Perintah Gaji Minimum yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan dan dimuat naik di laman web rasmi Jabatan Peguam Negara pada 28 April.

Menurut warta di bawah Perenggan 4(1), pekerja yang tidak dibayar gaji asas tetapi dibayar berdasarkan kadar sekeping, tan, tugas, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang perlu dibayar kepada pekerja itu berkuat kuasa 1 Mei 2022 tidak boleh kurang daripada RM1,500.

Bagi majikan yang menggaji lima atau lebih pekerja atau majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang diklasifikasikan di bawah Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020, kadar gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa mulai 1 Mei.

Butiran gaji minimum dikuatkuasakan mulai 1 Mei 2022, yang diwartakan pada 27 April lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerajaan telah menyediakan bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan COVID-19 seperti Program Subsidi Gaji yang telah membantu dalam mengekalkan perniagaan dan menjaga pekerjaan.

“Ini juga bagi memastikan pekerja mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan menjelang pelaksanaan kadar baharu gaji minimum mulai 1 Mei.

Menurut beliau, keputusan mengenai gaji minimum adalah wajar bagi menjamin kebajikan pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah, manakala majikan juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna.

“Kerajaan juga menjangkakan kenaikan gaji minimum akan memberi impak positif kepada negara, majikan dan pekerja yang akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.

Saravanan menambah, bagi majikan yang menggaji kurang daripada lima pekerja, gaji minimum berkesan RM1,500 akan bermula pada 1 Januari 2023.

Butiran gaji minimum dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2023, yang diwartakan pada 27 April lalu.

Kata beliau, bagi tempoh 1 Mei 2022 hingga 31 Disember 2022, kadar gaji minimum yang diguna pakai ialah RM1,200 sebulan bagi penggajian di kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran, dan RM1,100 sebulan bagi kawasan lain.

“Penangguhan gaji minimum RM1,500 sebulan bagi majikan yang menggaji kurang daripada lima pekerja adalah untuk memberi peluang kepada majikan membuat persiapan sewajarnya,” katanya.

Saravanan berkata kadar gaji minimum harian dan setiap jam serta kadar gaji pekerja tidak mempunyai gaji pokok, tetapi dibayar mengikut pekerjaan dan produktiviti mereka, seperti komisen, kadar sekeping, dan lain-lain, juga diperincikan dalam PGM 2022.

Dalam kenyataannya, Saravanan berkata, pelaksanaan gaji minimum tidak terpakai kepada pembantu rumah seperti PGM sebelum ini.

“Penguatkuasaan gaji minimum akan dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Justeru, semua majikan dikehendaki mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu,” katanya.