ANALISIS: Dalam respons selepas lapan hari mengumumkan mengenai pelaksanaan kadar baharu gaji minimum, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan semalam menegaskan bahawa penetapan kadar gaji minimum yang baharu pada nilai RM1,500 sebulan diambil selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).
Kata beliau, ia tidak dibuat secara “secara melulu.”
Saravanan memberitahu bahawa pihak industri seharusnya memahami rakyat negara ini tidak boleh lagi bergantung kepada kadar gaji bawah RM1,500 sebulan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut beliau, berbanding sebelum ini, kadar gaji di sektor swasta ketika ini lebih rendah daripada sektor kerajaan.
“Pada masa ini, kita lihat kadar gaji swasta lebih rendah daripada gaji di jabatan kerajaan dan sewajarnya ia dinaikkan. Kelembapan ekonomi tidak harus dijadikan alasan kerana kita perlu perbanyakkan aliran tunai untuk memulihkan ekonomi dan menjaga nasib rakyat,” kata beliau.
“Kementerian juga melihat permintaan terhadap pekerja warga asing oleh industri begitu ramai dan ini menunjukkan perniagaan mereka cukup bagus, jadi adakah patut peluang ini kita berikan kepada pekerja asing berbanding rakyat tempatan,” kata beliau.
Saravanan menegaskan perkara itu selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (FeMAC) Zon Tengah di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai semalam.
Saravanan mengulas kenyataan beberapa pihak terutama persatuan majikan dan industri yang seolah-olah tidak bersedia untuk melaksanakan penetapan kadar gaji minimum dengan alasan ia menjejaskan usaha majikan sektor swasta untuk memulihkan perniagaan.
Situasi sekarang disifatkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bukan masa sesuai untuk pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan, selain bukan jaminan menyelesaikan masalah peningkatan harga barangan dalam pasaran bagi membantu golongan pekerja.
Dibantah MEF, FMM
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, mendakwa majoriti majikan di negara ini tidak bersedia dan tidak dapat melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu kerana belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat COVID-19 dan kesan buruk banjir besar baru-baru ini.
Beliau berkata, ia juga akan menyukarkan banyak syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya PKS mikro yang terpaksa bergantung kepada insentif pemberian kerajaan dalam Belanjawan 2022.
“MEF berpendapat, berdasarkan keadaan semasa di mana majikan masih memerlukan Program Subsidi Upah (PSU) untuk kekal berniaga dan mengekalkan pekerja mereka adalah tidak wajar untuk menyemak semula dan meningkatkan kadar gaji minimum.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pengilang bimbang terhadap kenaikan segera gaji minimum kepada RM1,500 meningkatkan kos perniagaan yang berisiko buat mereka.
“Namun kami menerima jika kenaikan ini dilaksanakan secara beransur-ansur di bawah semakan gaji minimum semasa yang akan diputuskan Majlis Perundingan Gaji Negara.
“Ia sedikit sebanyak akan dapat berupaya menangani kos sara hidup,” kata beliau dipetik BH Online.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, sepatutnya kadar gaji minimum itu dilaksanakan tiga tahun lalu dan kementeriannya bukan secara tiba-tiba membuat keputusan, sebaliknya ia berdasarkan aspirasi rakyat.
“Dalam keadaan sekarang, kita perlu memperbanyakkan aliran tunai di peringkat bawahan supaya kita pulih daripada kegawatan ekonomi.
“Justeru, sebagai menteri, saya bersetuju dengan pandangan dan sudah sampai masanya negara kita melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 ini. Bagaimanapun, keputusan ini akan ditentukan Kabinet,” katanya.
Sehubungan itu, Saravanan merayu pihak industri bersama merealisasikan cadangan berkenaan kerana rakyat Malaysia memerlukan bantuan mereka.
“Saya berharap pihak industri dapat bersama kerana hakikatnya kita sudah terlewat yang sepatutnya perkara ini dilakukan tiga tahun lalu seperti janji pilihan raya,” kata beliau.
Tanggungjawab moral majikan
Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap keputusan Kerajaan untuk menaikkan gaji minimum menjadi RM1,500 sebulan adalah sesuatu yang tepat pada masanya dan sangat diperlukan.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menghargai dan menghormati pandangan tersebut tetapi percaya ia perlu melihat dalam konteks yang lebih besar dan kritikal.
“Saya sedar perkara ini akan sedikit sebanyak memberikan kesukaran kepada para majikan tapi gaji minimum adalah tanggungjawab moral majikan.
“Namun, kita tidak boleh menunggu sehingga semua majikan untuk bersetuju dan hanya apabila mereka berasa selesa atau ‘bersedia’ untuk melakukannya. Perkara ini ada sesuatu yang mesti dimulakan. Alah bisa, tegal biasa.
“Jika kita terus menunggu dan menunggu, tidak akan ada masa yang sesuai dan selesa untuk majikan menaikkan gaji minimum,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya.
Pada masa yang sama, beliau yakin semua majikan mempunyai bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi tanggungjawab moral kepada para pekerja dan masyarakat secara amnya.
“Bantulah negara ini dengan membantu mereka yang paling hampir dengan kalian – para pekerja di bawah. Inilah masanya untuk kita menggandakan usaha membudayakan ekonomi humanistik yang lebih manusiawi dan meninggalkan perkara yang berbentuk eksploitasi. Sekali gus mengukuhkan amalan ekonomi yang beretika dan berteraskan rakyat.
“Saya harap pihak MEF dan semua majikan secara amnya akan memperhalus isu ini dan menzahirkan empati yang lebih mendalam kepada para pekerja di luar sana. Layan dan hargailah titik puluh mereka dengan cara yang lebih adil dan bermaruah.
“Semoga gaji minimum RM1,500 akan menjadi realiti, tidak lama lagi.”
MEF double standard
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mengkritik MEF kerana menentang peningkatan gaji minimum, yang disifatkannya akan menjejaskan pemulihan perniagaan.
“Dikatakan sektor swasta perlukan masa untuk pulih daripada kesan wabak COVID-19. Pelaksanaan gaji minimum mungkin menjejaskan industri yang sedang bergelut untuk pulih.
“Ini hujah yang pelik daripada MEF – yang dianggap sebagai pelindung firma sektor swasta.
“Walaupun jika ia hujah yang boleh diterima, saya lihat pelik apabila MEF tidak pernah mempertahankan gaji minimum ketika ekonomi dalam keadaan baik, terutama sebelum wabak. Mengapa MEF ada standard berbeza?” kata beliau.
Dalam kenyataan medianya, Ramasamy berkata, kerajaan lebih berminat untuk mendapat pekerja asing dengan gaji murah berbanding memberi perhatian kepada kesukaran yang dihadapi tenaga kerja tempatan.
“Jika kementerian menumpukan perhatian yang memadai kepada keadaan kesatuan kerja dan pekerja, gaji minimum tidak perlu diperkenalkan. Sudah tiba masanya kerajaan melihat pekerja sebagai manusia dan apa keperluan material yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang baik di negara ini,” katanya lagi.
Menurut Ramasamy, majikan tidak pernah setuju dengan perundangan berkenaan gaji minimum – dengan ramai yang berpandangan ia patut ditentukan oleh faktor permintaan dan bekalan.
Beliau berkata, hujah itu hanya boleh diterima jika kesatuan sekerja bebas untu menganjurkan dan membuat rundingan kolektif, serta jika tiada campur tangan kerajaan.
“Tetapi di Malaysia, ada campur tangan besar kerajaan melibatkan sektor tenaga kerja. Kerajaan menyekat kebebasan pekerja dan kesatuan dengan mengetatkan undang-undang.
“Bagaimana interaksi permintaan dan bekalan boleh berlaku jika tangan kesatuan diikat dan majikan bebas?” soalnya lagi.
Dalam pada itu, Ramasamy juga berpendapat cadangan gaji minimum di Malaysia gagal menangani persoalan gaji yang wajar.
“Saya tak kata tidak perlu ada gaji minimum, lebih baik ada daripada tiada langsung.
“Ia petanda buruk yang ada sesuatu yang sangat kurang dalam soal menangani kebajikan dan kesejahteraan pekerja di negara ini,” katanya lagi.