Gaji minimum RM1,500: Adakan dialog dengan majikan dan kesatuan, kata PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Inisiatif Jamin Kerja dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Kuala Lumpur.- Foto Ihsan FBS Saravanan

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meminta Kementerian Sumber Manusia mengadakan perbincangan dengan semua pihak persatuan berkaitan termasuk majikan dalam menentukan kadar baharu gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan untuk dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum kadar baharu diumumkan biar ada penerimaan daripada majikan.

“Kita tidak melindungi majikan tetapi kepentingan kita adalah pekerja.

“Kalau pekerja dapat dinaikkan gaji minimum kepada RM1,500 memang itu yang terbaik,” kata beliau,

Ismai Sabri berkata, banyak syarikat dan juga majikan tidak bersetuju dengan kadar gaji minimum sekitar RM1,500.

Ketika ini kata beliau, kerajaan melaksanakan perbincangan dengan semua majikan untuk penetapan kadar gaji minimum yang baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

“Sebab ada syarikat yang mampu, ada syarikat kecil tak mampu.

“Kita takut kalau dia tak mampu nanti dia akan retrench (buang) pekerja dia dan menambahkan jumlah pengangguran dalam negara,” kata beliau selepas merasmikan Inisiatif Jamin Kerja dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di sini.

Ditanya adakah kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji minimum itu, Ismail Sabri berkata, KSM sudah memaklumkan kepada kabinet mengenai cadangan itu.

“Tetapi kita minta supaya Kementerian Sumber Manusia bincang secara terperinci terlebih dulu, apabila dah bentang dalam kabinet, tunggu masa untuk kita luluskan saja. Insya-Allah, kerajaan prihatin dengan kos sara hidup hari ini yang mungkin memerlukan peningkatan (gaji).

“Tetapi, kita tidak mahu juga dengan peningkatan (gaji) itu, syarikat kecil dan sederhana (SME), makro dan sederhana tidak mampu (membayar) akhirnya buang pekerja. Tujuan kita untuk membantu pekerja akhirnya tiada penyelesaian kerana ramai dibuang kerja akibat majikan tidak mampu bayar gaji,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan kepentingan semua pihak termasuk pekerja dan dalam masa sama mendengar pandangan daripada majikan juga.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mendedahkan negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.

Berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.