Forum SPCAAM: Bekas Presiden MTUC yakin kerajaan pimpinan Anwar akan perkenal perlindungan sosial pesara

Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud menyampaikan ucaptama pada Forum SPCAAM bertemakan “Adakah Rakyat Malaysia Mampu Untuk Menikmati Kehidupan Yang Baik Selepas Bersara di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yakin kerajaan semasa pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperkenalkan satu mekanisme khusus bagi menyediakan perlindungan sosial holistik bagi pekerja-pekerja untuk menikmati kehidupan berkualiti selepas bersara.

Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pemimpin-pemimpin kesatuan dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili pekerja seperti Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) perlu menggunakan kesempatan dialog sosial yang disediakan oleh perdana menteri untuk mencari solusi jangka panjang.

“Saya cadangkan agar SPCAAm mengadakan dialog dengan kementerian-kementerian berkenaan dan perdana menteri.

“Kita kena menggunakan kesempatan yang ada (dengan pendekatan keterbukaan perdana menteri) untuk membolehkan rakyat mendapat manfaat, berikan sokongan (untuk sistem perlindungan sosial lebih baik),” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum SPCAAM bertemakan Adakah Rakyat Malaysia Mampu Untuk Menikmati Kehidupan Yang Baik Selepas Bersara (Are Malaysians Able To Live A Decent Life After Retirement?) di NUBE House di sini, hari ini.

“Saya berharap SPCAAM akan melakukannya,” kata beliau sambil menambah bahawa forum hari ini akan menghasilkan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Syed Shahir yang juga Pengerusi Institut Pemerkasaan Pekerja Selangor berkata, isu perlindungan sosial untuk pesara perlu ditangani dengan segera dan menyeluruh.

Beliau mengakui bahawa setiap pekerja yang bersara memerlukan minimum RM360,000 untuk hidup dengan selesa selepas bersara.

“Ini satu amaun yang besar,” kata beliau.

Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

“Ada jangka hayat (sekitar) 15 tahun selepas bersara, setiap individu memerlukan wang secukupnya,” kata beliau yang turut menekankan bahawa situasi itu menunjukkan negara memerlukan perlindungan sosial yang baik.

SPCAAM mengadakan forum ini bagi mencari solusi untuk menjamin pekerja menikmati kehidupan yang lebih baik dan berkualiti selepas mereka bersara.

Persoalan itu menjadi semakin signifikan ketika kemerosotan simpanan pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ketiadaan perlindungan pascapersaraan yang cukup dan peningkatan kos sara hidup dengan mendadak yang terus menjadi persoalan sejak kebelakangan ini.

SPCAAM, yang dilancarkan pada tahun 2022 bagi memperjuangkan dan membela hak pekerja demi perlindungan sosial hak asasi manusia yang lebih baik, menganjurkan forum khas bertemakan Adakah Rakyat Malaysia Mampu Untuk Menikmati Kehidupan Yang Baik Selepas Bersara.

Kenyataan SPCAAM berkata, forum kali ini diadakan bagi mengupas keadaan semasa dan mengetengahkan syor dan saranan yang bernas kepada pihak berkuasa agar menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada para pekerja.

Forum mengetengahkan lima ahli panel yang akan mengupas topik masing-masing, iaitu Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus (Trends & Challenges Globally for the Aged & Retires Population); Pengarah Sosioekonomi SPCAAM, Dr Zouhair Rosli (Economic Implication of Sustaining An Ageing Population); Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP, Balqais Yusoff (The EPF Role in Ensuring Adequate Savings for Workers to Enjoy A Decent Post Retirement Life); Pendokong Polisi The Rakyat, Emir Syazwan (Youth Employment & The Changing World of Work: How Would the Younger Generation Work Towards Building Savings for Their Retirement) dan Setiausaha Agung SPCAAM, A. Karuna (Are Women in the Workforce Set Up to Retire & Live A Decent Life?).

SPCAAM berpandangan bahawa negara memerlukan satu mekanisme yang sesuai bagi memastikan akan ada perlindungan yang lebih baik kepada setiap rakyat selepas mereka bersara.

Oleh itu, SPCAAM ini akan memberikan pencerahan yang mendalam situasi semasa dan keperluan jangka panjang demi kebajikan rakyat Malaysia secara keseluruhan.