Forum Hari Buruh NUBE: Pekerja dinasihat usah takut guna imuniti, kebebasan berkesatuan demi pertahan hak

Kepimpinan NUBE bersama penceramah ucaptama dan ahli panel Forum Hari Buruh NUBE 2023 di Pusat Latihan NUBE di Port Dickson. NUBE turut meraikan peguam-peguam yang memenangkan kes mahkamah melibatkan pertikaian perhubungan perusahaan NUBE.

PORT DICKSON: Ahli-ahli kesatuan sekerja di Malaysia mempunyai imuniti dan kebebasan di bawah kerangka perundangan yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya demi mempertahankan kepentingan dan hak mereka di tempat kerja.

Peguam perhubungan perusahaan, Alex De Silva, rakan kongsi dari Bodipalar Ponnudurai De Silva berkata, undang-undang negara, terutama Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 ada menyediakan “perlindungan” dan ada peruntukan berkaitan dengan kebebasan bagi ahli-ahli kesatuan sekerja demi manfaat mereka.

“Undang-undang memberi perlindungan dan jangan takut untuk menggunakannya… jangan takut untuk melawan bagi hak anda,” kata beliau pada Forum Hari Buruh NUBE 2023 yang diadakan sempena sambutan Hari Buruh, berlangsung di Pusat Latihan NUBE di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada kebebasan berpersatuan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 3 dan 4 dalam Akta Perhubungan Perusahaan.

“Anda (ahli-ahli kesatuan sekerja) mempunyai imuniti di bawah undang-undang. Anda mempunyai hak, jangan lupa yang itu (peruntukan undang-undang),” kata beliau.

De Silva berkata, setiap ahli boleh menyertai aktiviti anjuran kesatuan masing-masing dan “sudah pasti anda mempunyai hak untuk memberi pandangan bersifat kritikan (terhadap majikan).

“Anda mempunyai hak untuk mengkritik. Ketua Hakim sendiri pernah mengatakan bahawa anda sebagai warganegara mempunyai hak untuk (bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan)… dan anda (sebagai ahli kesatuan) juga terhadap majikan,” kata beliau.

Forum itu, yang dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), menampilkan Boniface Lobo dari LOBO & Associates yang menyampaikan ucaptama bertemakan “The Role of Administrative Law in Industrial Relations”.

Program itu menampailkan empat ahli panel.

Selain De Silva yang mengupas tajuk “The Consitutional Safeguards for Trade Unionism” turut berucap ialah Ravi Neeko yang menyentuh tajuk “The Impact of Amendments to the Labour Laws on Trade Unionism in Malaysia” dan A Sivanantahan, pengamal kesatuan sekerja dan hubungan perhubungan industri, bercakap di bawah tajuk “The Role of Industrial Relations Practitioners in the Trade Union Struggle”. A Karuna, Timbalan Setiausaha Agung NUBE pula mengupas tajuk “The Struggle of Trade unions Within the Current Legal Framework”.

Forum kali ini bertemakan “Fight For Social Justice: NUBE’s Legal Advances”, yang menggambarkan penghargaan terhadap sumbangan pengamal undang-undang dalam perjuangan kesatuan sekerja membela ahli mereka.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon menyampaikan ucapan pada pembukaan Forum Hari Buruh NUBE 2023.

Sementara itu, Ravi berkata, meskipun terdapat peruntukan berkaitan dengan kebebasan berkesatuan sebagaimana disebutkan oleh De Silva, tetapi kebebasan itu nampak mula terhakis dengan pelbagai pindaan ke atas Akta Kesatuan Sekerja 1959 sejak kebelakangan.

“Di bawah Seksyen 4 Akta Perhubungan Perusahaan, tiada siapa yang boleh menghalang hak untuk menubuhkan kesatuan dan menyertai kesatuan sekerja.

“Seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, kita boleh lihat dalam Akta Perhubungan Perusahaan. Seksyen 8 Akta Kerja 1955 juga ada menyebut mengenai kesatuan sekerja.

“Ini bermakna kesemua undang-undang menjamin hak untuk masuk kesatuan sekerja,” kata beliau, dan seterusnya menjelaskan bahawa sejak beberapa dekad lalu, sudah ada usaha untuk mengekang kebebasan pergerakan kesatuan sekerja.

Katanya, ini termasuklah pindaan pada tahun lalu ke atas Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang antara lain membawa peruntukan yang membolehkan amalan kepelbagaian kesatuan sekerja dan juga peluasan kuasa ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.

“Walaupun ada undang-undang yang kata pekerja boleh masuk kesatuan sekerja, tetapi melalui undang-undang lain, ada ada usaha untuk mengawal kebebasan sedikit demi sedikit,” kata beliau.

Pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada tahun lalu dibantah oleh sebahagian kesatuan sekerja. Rang undang-undang itu dijadual untuk dibawa semula ke Dewan Rakyat susulan pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 Oktober lalu.

Sebahagian daripada hadirin Forum Hari Buruh NUBE 2023.

Banyak usaha diperlukan – Karuna

Dalam pada itu, Karuna berkata, banyak yang perlu dilakukan untuk memperkasakan gerakan kesatuan sekerja.

Ini termasuklah memasukkan definisi hak berkesatuan dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Deklarasi Universal Antarabangsa Mengenai Hak Asasi ada menyediakan peruntukan khusus mengenai kesatuan sekerja, tetapi kita tidak mengambil maklum perkara.

“Kita perlu mengaktifkan sesi keterlibatan bersama SUHAKAM, entiti-entiti lain seperti Majlis Peguam bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan berkesatuan dan menubuhkan kesatuan sekerja,” kata beliau yang turut mengatakan bahawa hanya wujud 770 kesatuan sekerja pada masa sekarang, peningkatan sebanyak hanya 68 buah kesatuan berbanding tahun 2012.

“Jumlah kesatuan sekerja di Malaysia tidak sampai 1,000. Jadi kita berhadapan dengan pelbagai cabaran,” kata beliau.

Sementara itu, Sivananthan berkata, setiap tempat kerja perlu ada kesatuan sekerja untuk memberi perlindungan kepada para pekerja.

“Mesti ada kesatuan sekerja di tempat kerja untuk menjamin hak dan kepentingan pekerja terpelihara.

“Tetapi pendirian saya ialah hanya boleh ada satu kesatuan bagi satu sektor, industri di satu-satu tempat kerja,” kata beliau yang turut melahirkan bantahan terhadap usaha meminda Akta Kesatuan Sekerja yang membolehkan kepelbagaian kesatuan sekerja.

Turut hadir Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal (kanan), mantan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud. Setiausaha Agung NUBE, J Solomon (kiri) bersama mereka.

Mengharai sumbangan dan jasa peguam – J Solomon

Dalam pada itu, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, forum ini diadakan sebagai tanda memperingati sumbangan mendiang Alfred Balamohan Vengadasalam, yang merupakan antara penasihat perundangan bagi NUBE.

“Mendiang Alfred telah memberikan sumbangan yang amat bernilai dalam memperkasakan perjuangan NUBE daripada segi kerangka perundangan.

“Aspek nasihat perundangan merupakan salah satu aspek yang membina perjuangan kesatuan sekerja.

“Jadi, NUBE memutuskan bahawa kita perlu menghargai sumbangan dan peranan penasihat perundangan,” kata beliau sambil bahawa “kumpulan penasihat perundangan ini seringkali dilupakan semasa sambutan Hari Buruh.”

Oleh itu kata beliau, individu-individu ini yang telah banyak membantu NUBE dan dalam perjuangan kesatuan sekerja.

“Jadi, program tahun ini diadakan khusus untuk mengingati peranan mereka…kita harus menghormati sejarah kita, jangan lupa jasa kelompok pengamal perundangan,” kata Solomon.

Lebih 200 ahli NUBE dari kesemua lima cawangan menjayakan forum kali ini. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang lain turut hadir termasuk Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal dan mantan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud serta Setiausaha Agung SBEU, Catherine Jikunan.

Antara yang turut hadir sama.
Hadirin mengikuti dengan tekun sesi panel Forum Hari Buruh NUBE 2023 di Port Dickson.