![](https://www.workerstimes.com/wp-content/uploads/2025/02/thaipusam-bazir.jpg)
Oleh N. V. Subbarow dan Tharman Anandan
PANDANGAN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Hindu Sangam Negeri Pulau Pinang menggesa penganut dan pengunjung Thaipusam supaya mengelak daripada menggunakan plastik dan tidak membazirkan makanan yang ditawarkan kepada mereka di gerai semasa Thaipusam tahun ini.
Pertubuhan yang mendirikan thaneer panthal atau gerai khas yang menawarkan makanan dan minuman percuma, serta penganut digesa untuk berhenti daripada menggunakan plastik sekali guna, bekas polistirena dan cawan semasa Thaipusam.
Sebagai gantinya, mereka boleh menggunakan pilihan lain seperti pinggan dan cawan boleh guna semula, atau daun yang boleh terurai.
Di mana sahaja Thaipusam disambut di seluruh negara, pinggan, cawan, sudu dan garfu plastik mendominasi gerai minuman. Gerai-gerai dan para peniaga menyatakan ia memudahkan sebagai alasan bagi menggunakan bekas, kutleri dan cawan ini memandangkan mereka terpaksa melayan ramai orang.
Walau bagaimanapun, terdapat cara yang lebih baik untuk menghidangkan makanan yang tidak akan menghasilkan banyak sisa yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Penganut dan pengunjung mestilah ingat bahawa plastik tidak terurai sementara plastik “boleh terurai” dan “boleh dikompos” tidak mudah terurai dan hancur hanya dalam keadaan tertentu.
Pencemaran plastik telah menjadi salah satu ancaman alam sekitar yang paling mendesak kepada manusia dan planet ini. Lebih banyak plastik digunakan dan dibuang dalam perayaan besar seperti semasa Thaipusam ini, lebih banyak sisa plastik akan berada di dalam alam sekitar dan berakhir dengan menjadi pencemaran.
Ancaman daripada pengeluaran dan penggunaan plastik sekali guna amat serius yang membimbangkan kesihatan awam dan alam sekitar.
Alternatif kepada plastik sekali guna ialah peralatan yang boleh diguna semula, membasuh semula perkakas, daun yang digunakan sebagai pinggan makan dan pembungkus makanan, serta membawa bekas sendiri untuk mengisi makanan, botol untuk mengisi semula minuman dan beg kain untuk membawa barangan anda. Terdapat gerai yang menyajikan minuman dalam cawan keluli tahan karat yang kemudiannya dibasuh dan boleh digunakan semula.
Kita juga perlu mengurangkan pembaziran makanan. Kami menganggarkan sekurang-kurangnya 50 tan sisa makanan dibuang setiap tahun semasa Thaipusam. Kami menggesa mereka yang menghidangkan makanan untuk mengurangkan saiz hidangan mereka. Kami difahamkan mereka memberi annadanam (makanan percuma) tetapi tidak akan ada kekurangan makanan bagi penganut, jadi kami berharap gerai minuman akan mengurangkan bahagian hidangan dan hanya memberi satu pek makanan bagi setiap orang.
Kami juga menyeru pihak pengurusan semua kuil di Malaysia yang meraikan Thaipusam untuk menghapuskan penggunaan plastik dan bekas makanan polistirena apabila menghidangkan makanan kepada penganut dan pengunjung.
Marilah kita bersama-sama menggunakan perayaan ini sebagai platform untuk menjaga alam sekitar, dengan membebaskan diri kita daripada plastik dan produk sekali guna. Kita mestilah meninggalkan bumi yang lebih bersih dan selamat untuk anak-anak kita.
Nota: N. V. Subbarow ialah Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang manakala Tharman Anandan pula Pengerusi Majlis Malaysia Hindu Sangam Negeri Pulau Pinang