DUN Pulau Pinang bubar 28 Jun, Negeri Sembilan 30 Jun

Kebanyakan Dewan Undangan Negeri (DUN) enam negeri dijangka dibubarkan penghujung bulan ini.

KUALA LUMPUR: Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan membuat pengaturan yang diperlukan untuk membuka jalan bagi PRN.

“Kami mencadangkan agar DUN dibubarkan pada 28 Jun ini. Kami akan mengatur dengan sewajarnya,” kata beliau.

Dua hari lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata DUN negeri itu akan dibubarkan pada 30 Jun, manakala Terengganu juga dijangka mengambil langkah sama pada hujung bulan ini.

Awal minggu ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu bahawa pembubaran DUN negeri itu akan berlaku dalam 23 hari, bermakna penghujung bulan ini.

Amirudin berkata, sekiranya tiada pengumuman pembubaran dibuat maka DUN akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir.

“DUN akan terbubar dalam masa terdekat. Kita tiada masa kerana 25 Jun ini adalah tarikh maksimum.

“Ini bermakna, kita hanya boleh tangguh selama 23 hari dari sekarang.

“Selepas tarikh tersebut, pasti akan terbubar,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tarikh sebenar pembubaran itu perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris.

Kata beliau, tindakan beberapa Exco Kerajaan Negeri yang berkongsi status mengosongkan pejabat adalah perkara biasa menjelang PRN.