KOTA KINABALU: Sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) yang membuka laluan kepada kerajaan negeri itu mengambil balik kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan pusat.
Tiga RUU itu ialah RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECos) (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024 dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024.
Kesemua RUU itu dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor, semalam.
Hajiji berkata, Sabah merancang untuk mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang diswastakan 25 tahun lalu selepas Lembaga Letrik Sabah (LLS) diserahkan kepada pusat pada 1 Januari 1984, sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun.
Menurut beliau, pihaknya akan mencari inisiatif bagi melaksanakan perkara terbabit susulan ECoS yang telah ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti bekalan gas daratan dan elektrik serta tenaga boleh baharu.
“Pemilikan SESB di peringkat negeri hanya 17 peratus manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) memiliki SESB 83 peratus,” kata beliau.
Dalam pada itu, tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membahaskan RUU ECos (Pindaan) 2024 iaitu Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Senallang), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (dilantik); Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Junz Wong (Tanjung Aru), Dr. Daud Yusuf (Bongawan) dan Azhar Matussin (Darau).
Menurut Hajiji, RUU berkenaan akan memberi kuasa kepada ECoS untuk mengawal selia industri bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah.
Jelas beliau, segala aktiviti yang berkaitan dengan bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu dapat dijalankan secara berterusan tanpa sebarang gangguan.
Tambah beliau, ia seiring dengan persetujuan secara bersama di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengambilalihan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri pada 12 Jun 2023.
Menurutnya, fungsi dan kuasa kawal selia bekalan elektrik dimasukkan ke dalam Enakmen ECos Sabah 2023 melalui RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024.
Sehubungan itu, kata beliau, satu perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 di Sabah telah diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 22 Disember 2023.
RUU Bekalan Elektrik 2024
Dalam pada itu, RUU Bekalan Elektrik 2024 diluluskan selepas dibahaskan oleh sembilan ADUN, iaitu Datuk Masiung Banah (Kuamut), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor), Jannie Lasimbang (Kapayan), Datuk Frankie Poon ( Tanjong Papat), Justin Wong (Sri Tanjong), Calvin Chong (Elopura), Assaffal P. Alian (Tungku), Shafie dan Junz.
Dalam pembentangannya Hajiji menjelaskan, RUU berkenaan akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia sektor pembekalan elektrik di Sabah.
Hajiji berkata, segala aktiviti sektor pembekalan elektrik yang dijalankan akan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif serta efisien.
RUU Tenaga Boleh Baharu 2024
RUU Tenaga Boleh Baharu 2024 pula telah dibahaskan oleh ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang; Norazlinah Arif (Kunak), Rina Jainal (Kukusan); Amisah Yassin (dilantik) dan Calvin.
Hajiji berkata, RUU itu akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia sektor tenaga boleh baharu di Sabah.
Menurutnya, segala aktiviti sektor tenaga boleh baharu yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan serta mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga boleh baharu khususnya di Sabah.
Pada 19 September 2023, kerajaan negeri melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang digubal oleh ECoS. Antara intipati SE-RAMP 2040 yang menyokong pembangunan tenaga boleh baharu termasuk penambahan komposisi tenaga boleh baharu di dalam campuran penjanaan tenaga elektrik di Sabah melalui kajian dan pembangunan sumber sedia ada dan yang baharu.
Kata beliau, langkah itu turut membangunkan suatu Pelan Induk Pembangunan Hidroelektrik di Sabah melalui kajian yang kini sedang dilaksanakan oleh ECoS.
Hajiji berkata, sasaran peratusan kapasiti tenaga boleh baharu yang ditetapkan adalah lebih 50 peratus pada 2035 berbanding dengan sembilan peratus ketika ini bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai Negara Neutral Karbon menjelang 2050.
Selain itu katanya, pelan berkenaan menggunakan kelebihan sumber tenaga boleh baharu yang banyak serta unik di Sabah seperti kuasa solar, biojisim, geoterma, kuasa angin untuk dibangunkan sebagai sumber jana kuasa berskala besar yang mesra alam.
Sabah telah menyerahkan kembali kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada pusat mulai 1 Januari 1984 ekoran isu kekangan kewangan untuk membangunkan bekalan elektrik di Sabah. Ia dikuatkuasakan menerusi penggubalan Akta LLS pada tahun 1983.