Dr Irmohizam dilantik Profesor Adjung Arshad Ayub Graduate Business School

Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Sri Dr Irmohizam Ibrahim menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) daripada Dekannya, Prof. Dr. Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohamad.

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), Datuk Sri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pelantikan itu adalah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 September lalu.

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan telah diadakan di AAGBS pada 27 Oktober lalu.

Watikah telah disampaikan oleh Dekan AAGBS, Prof. Dr. Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohamad.

Lantikan ini adalah satu penghormatan dan keistimewaan buat Irmohizam yang juga Alumni AAGBS.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, WTC KL berkata, pelantikan ini berpeluang untuk beliau menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan minda anak muda, dan membantu dalam membentuk generasi peneraju perniagaan seterusnya.

“Berdasarkan latar belakang beliau yang luas dalam dunia acara perniagaan yang dinamik, beliau berhasrat untuk berkongsi pengetahuan dan pandangan praktikal, dunia sebenar, merapatkan jurang penting antara industri dan akademik,” kata kenyataan itu.

Irmohizam berkata: “Pelantikan ini saya terima dengan rasa penuh tanggungjawab dan syukur.”

“Saya sangat teruja untuk menyelami selok-belok dunia perniagaan, memupuk persekitaran pembelajaran dan inovasi.

“Saya amat komited untuk menyumbang kepada institusi terkemuka ini, membimbing bakal pemimpin masa depan negara kita, dan mengekalkan warisan kecemerlangan yang diwakili oleh AAGBS,” kata beliau yang juga rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

Kata Irmohizam, beliau juga akan memanfaatkan kemahiran kepemimpinan dan pengalamannya yang luas dan hubungan industri globalnya dalam sektor Acara Perniagaan untuk memperkayakan komuniti AAGBS.