Dr Firdaus, tokoh pemikir dan karyawan kembali ke Rahmatullah

Profesor Datuk Dr Firdaus Abdullah yang aktif dalam bidang kewartawanan, penulisan dan pemikiran lebih lima dekad meninggal dunia pada 11 April 2024. – Imej ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

KUALA LUMPUR: Profesor Datuk Dr Firdaus Abdullah, tokoh terkenal dalam bidang kewartawanan, penulisan dan pemikiran, kembali ke Rahmatullah hari ini.

Allahyarham, 80 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau juga merupakan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam satu hantaran di portal Jendela DBP, DBP berkata, “warga Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Berbahagia Datuk Dr Firdaus Abdullah (mantan Ketua Pengarah DBP) yang kembali ke Rahmatullah pada 11 April 2024 bersamaan 2 Syawal 1445 (hari ini).”

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” kata hantaran itu.

Sepanjang menjadi tokoh bahasa, Firdaus dikenali dengan beberapa karya antara kumpulan puisi Prisma Mimpi (1985), kumpulan puisi kanak-kanak Puisi Amira dan Falahi (1986), selain kebanyakan puisi ecerannya tersiar dalam antologi puisi dan terbitan berkala.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Methodist Sentul, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Sastera Kewartawanan dan Sains Politik di Northern Illinois University di Amerika Syarikat (AS), pada 1969.

Allahyarham juga mempunyai Sarjana dalam Komunikasi dan Hubungan Antarabangsa dari Ohio University dan Sarjana dalam Falsafah dan Perbandingan Politik dan PhD Sains Politik dari Columbia University, AS.

Dalam kerjaya pula beliau bermula sebagai Penolong Pensyarah (Sementara), Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) pusat pengajian tinggi itu dari 1998 hingga 2001.

Di sektor swasta, beliau berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian (BH) dan The New Straits Times (NST) dan Pengerusi Eksekutif Utusan Karya Sdn Bhd.

Beliau juga pernah dilantik sebagai anggota Dewan Negara.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya dalam tulisannya di VOA Media Network menyifatkan Firdaus adalah antara sebilangan kecil pemikir Melayu yang secara konsisten melakukan analisis pengartikulasian politik bangsanya tanpa henti.

“Bagi saya secara peribadi, pemergian allahyarham Datuk Dr. Firdaus adalah satu kehilangan besar.

“Bagi dunia persuratan Melayu pemergian beliau tentulah amat dirasai kerana seperti yang dinyatakan oleh Profesor Azizah Hamzah, ‘Allahyarham Dato Firdaus punya suatu kebolehan menyelit buah fikiran dalam senda yang tajam’.”