KUALA LUMPUR: Kumpulan doktor kontrak yang mengadakan mogok atau Hartal Doktor Kontrak (HDK) di seluruh negara Julai lalu mahu membentuk sebuah kesatuan doktor menjelang akhir tahun ini.
Wakil HDK, Dr Mustapha Kamal berkata, tujuan kesatuan itu adalah untuk memberi suara kuat kepada doktor kontrak dalam menuntut peningkatan keadaan kerja mereka.
Kata beliau, dalam jangka pendek, rancangannya adalah untuk menyelesaikan isu kontrak dengan memiliki sebuah badan yang akan mewakil doktor.
“Kalau kita ada satu persatuan atau satu kesatuan, suara kita akan lebih didengar berbanding dengan sebuah NGO,” kata beliau dipetik Malaysiakini.
Beliau beliau, HDK sedang mengusahakan nama, logo dan perlembagaan untuk kesatuan itu.
“Mungkin sebelum akhir tahun ini, kita berharap dapat menyelesaikan semua ini dan mendaftarkan kesatuan itu,” katanya.
Malah menurut beliau, pihaknya telah berunding dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Kementerian Sumber Manusia mengenai penubuhan kesatuan tersebut.
Mereka terlebih dahulu perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama untuk meluluskan usul untuk menubuhkan kesatuan sebelum mendaftarkannya dengan jabatan tersebut.
Pegawai perubatan yang dilantik secara kontrak sebelum ini mendesak kerajaan memberi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik kepada mereka.
Doktor kontrak junior juga menghadapi risiko kehilangan kerja setelah tamat tempoh lima tahun latihan mereka di hospital kerajaan.
HDK memaklumkan doktor kontrak juga tidak tertakluk untuk menerima faedah seperti yang diperolehi rakan sekerja mereka yang dilantik ke jawatan tetap, termasuk peluang memperkembangkan kerjaya dalam bidang pengkhususan.