Dividen KWSP 2022: Simpanan konvensional 5.35%, Shariah 4.75%

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen simpanan konvesional 5.35 peratus manakala simpanan Shariah 4.75 peratus.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen simpanan konvesional 5.35 peratus bagi tahun kewangan 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion.

Dalam pada itu, kadar dividen simpanan Shariah untuk tempoh yang sama ialah 4.75 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion.

Ia menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk tahun 2022 berjumlah RM51.14 bilion.

Kadar tersebut merupakan yang terendah sejak 2020 bagi Simpanan Konvensional (5.20 peratus) dan Simpanan Syariah, sejak diperkenalkan pada 2017.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, portfolio pelaburan badan berkanun itu kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran kemelesetan dengan impak yang minimum.

Kata beliau, sebahagian besar pelaburan dipacu oleh strategi yang menekankan kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP.

Jelas beliau, setakat 31 Disember 2022 KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion berbanding RM68.89 bilion pada 2021.

Amir Hamzah menambah, keadaan itu didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.

Dalam taklimat yang disampaikan di Shah Alam hari ini, beliau memberitahu, seramai 8.39 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2022.

Sementara itu, daripada segi pendaftaran ahli pada tahun lalu, Amir Hamzah memberitahu, kumpulan itu mencatat pertumbuhan pendaftaran ahli baharu seramai 635,989, menjadikan jumlah ahli KWSP meningkat kepada 15.72 juta orang pada Disember 2022.

Amir Hamzah juga berkata, pelbagai pengeluaran berkaitan pandemik COVID-19, dengan ketara menghakis tahap simpanan KWSP bagi kaum Bumiputera dan India di negara ini.

Penengah atau median simpanan pencarum secara keseluruhannya menurun pada tahun lalu, berbanding sebelum pandemik, dengan Bumiputera mencatatkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 70 peratus.

Sebelum COVID-19, median simpanan bagi Bumiputera adalah RM15,500 manakala selepas COVID-19 adalah RM4,900.

Ia diikuti kaum India dengan penurunan 40 peratus, iaitu RM25,700 sebelum COVID-19 dan RM14,900 selepas COVID-19.

Katanya, kaum Cina mencatatkan penurunan median simpanan terendah iaitu satu peratus iaitu RM45,800 sebelum COVID-19 dan RM45,200 selepas COVID-19.