Delegasi kuasa kawal selia: SESB kekal komited bekal elektrik mampan di Sabah dan Labuan, jamin CEO

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar (kanan) dan Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika menghadiri majlis pelancaran buku The SESB Story baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih lagi menjadi pemegang saham terbesar dalam Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan kerajaan Sabah belum mengambil alih sepenuhnya syarikat utiliti elektrik Sabah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, orang ramai perlu faham SESB masih belum diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Sabah yang ketika ini memiliki 17 peratus saham syarikat berkenaan walaupun telah mengambil alih kawal selia bekalan elektrik di negeri itu.

Kata beliau, pihaknya hanya bertanggungjawab untuk kawal selia ke atas pengurusan industri elektrik di Sabah manakala pemulangan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah adalah melalui penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

“SESB akan terus komited untuk memastikan pengguna terus menerima bekalan elektrik yang mampan pada kadar yang munasabah. SESB akan berada di bawah seliaan dua pengawal selia iaitu Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan ECoS.

“Tetapi misi dan visi SESB masih tetap sama iaitu memberikan perkhidmatan bekalan yang berdaya harap kepada semua rakyat di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mohd Yaakob berkata, pengambilalihan kawal selia ke atas bekalan elektrik oleh Sabah adalah selari dengan pelbagai inisiatif berkaitan yang telah dirancang serta dilaksanakan dan membolehkan kerajaan negeri terlibat secara langsung dengan aktiviti industri gas dan minyak bagi manfaat rakyat Sabah.

Kelmarin, sidang khas Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) bagi memberi ruang kepada negeri itu untuk secara rasmi mengambil alih kuasa mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Kerajaan Persekutuan.

Ia membabitkan RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024, dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024.

Pada sidang khas DUN, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, kerajaan Sabah kini dalam perancangan untuk mengambil alih SESB dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang.

Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan Sabah akan mencari satu formula untuk merialisasikan perancangan tersebut.