Dakwa pekerja tidak dilayan dengan adil, NUBE piket bantah Citibank

Ahli-ahli NUBE mengadakan piket di hadapan Menara Citibank, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) hari ini mengadakan piket mendakwa Citibank mendiskriminasi, sekali gus menafikan pembayaran pampasan sewajarnya kepada pekerja-pekerja di Malaysia, terutama B40 dan M40 ekoran tindakan bank itu menjual dan menutup Operasi Perniagaan Pelanggan.

Lebih 300 ahli NUBE dari seluruh negara mengambil bahagian dalam piket yang diadakan di Menara Citibank, Kuala Lumpur.

Citibank telah mengumumkan penjualan Operasi Perniagaan Penggunanya melibatkan 13 negara termasuk di Malaysia pada tahun 2021.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, sejak April 2021, NUBE telah menyatakan kebimbangan susulan pengumuman oleh Citigroup Inc mengenai hasrat untuk keluar dari operasi penggunanya di Malaysia dan menjalankan operasi dari negara lain, termasuk Singapura.

“Sejak itu, NUBE telah berusaha untuk mengadakan perbincangan mengenai pampasan sewajarnya kepada pekerja-pekerja di Malaysia terutama bagi ahli-ahli NUBE bersandarkan kepada Perjanjian Kolektif (CA).

“Malangnya Citibank enggan berbuat demikian,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan sempen piket yang berlangsung di pekarangan Menara Citibank, Jalan Ampang di sini.

Piket itu berlangsung selama satu jam bermula 12.30 tengah hari.

Solomon berkata, NUBE melihat ia sebagai satu bentuk diskriminasi dan dasar yang tidak adil,” kata beliau.

“Ini kerana Citibank yang tidak merekodkan keuntungan di Korea Selatan sanggup membayar pampasan kepada pekerja-pekerja Citibank di negara itu,” katanya.

Beliau menyoal mengapa perlu ada dua dasar pampasan dan perburuhan yang berbeza oleh bank pelaburan multinasional dari Amerika Syarikat ini?

“NUBE juga mahu Bank Negara dan Kementerian Kewangan bertindak dengan segera dan tegas untuk memastikan Citibank menghormati hak dan kepentingan pekerjanya susulan langkah bank itu untuk menjual Operasi Perniagaan Pelanggan,” kata beliau.

Solomon berkata, pihaknya hairan selepas menjana kekayaan Malaysia sejak 63 tahun lalu daripada pelanggan-pelanggan Malaysia, Citibank memutuskan untuk menjual Operasi Perniagaan Pelanggan bank sebagai usaha penyegaran strategi bank walaupun ia membuat keuntungan dan tidak rugi.

“Pekerja-pekerja Malaysia yang telah berusaha dengan penuh hati dan jiwa untuk membolehkan Citibank terus menjana keuntungan selama 63 tahun lalu telah diabaikan begitu sahaja walaupun bank itu selama ini melabelkan dirinya sebagai majikan yang prihatin.

“Tidak seorang pun pekerja menerima hasil jualan, kecuali penempatan semula, apabila Perniagaan Perbankan Pengguna Citibank dijual kepada bank lain,” katanya.

Selain kepada Citibank sendiri, katanya, NUBE juga telah membawa isu ini ke perhatian Pihak Berkuasa Malaysia, tetapi tiada penyelesaian positif.

“Tetapi di Korea Selatan, Pihak Berkuasa negara itu telah bertindak tegas dan pekerja-pekerja Korea Selatan telah diberikan pampasan dalam bentuk bayaran gaji tujuh tahun, yang merupakan antara faedah yang diperoleh oleh mereka,” kata beliau lagi.

“Di Malaysia, Citibank bertindak sebaliknya? Mengapa? Sebab Pihak Berkuasa seperti Bank Negara dan Kementerian Kewangan tidak tegas apabila Citibank memutuskan untuk membawa keluar kekayaan dan keuntungan mereka dengan mengabaikan nasib pekerja-pekerja Malaysia sama sekali.

“Amat menyayat hati bahawa Pihak Berkuasa Malaysia enggan mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi kekayaan dan kesejahteraan negara hasil jerih payah rakyat Malaysia yang telah dimanipulasi oleh pelabur asing yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Solomon berkata, NUBE mahu Citibank memperuntukkan sebahagian yang munasabah dan saksama daripada hasil jualan operasi mereka kepada para pekerja yang telah membanting tulang dan setia kepada kemajuan Citibank.

” Kami juga berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, akan membela nasib kami selari dengan slogan Malaysia Madani,” kata beliau.

Piket yang berlangsung di Menara Citibank.