KUALA LUMPUR: Lebih 300 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dari seluruh negara berpiket sebagai tanda solidariti membantah perbuatan diskriminasi di Maybank cawangan Batu Gajah, Perak semalam.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, pihaknya berpiket bagi membantah tindakan Maybank dalam merelakan amalan perkauman dan sikap tidak peduli terhadap ahlinya.
“Demi menuntut keadilan untuk Uva (nama samara pekerja terbabit), seorang kerani yang menjadi mangsa gangguan dan penghinaan kaum secara terang-terangan oleh seorang eksekutif Maybank,” kata beliau.
NUBE mendakwa pekerja terbabit sering mengalami gangguan dan reaksi biadap.
Menurut Solomon, pekerja terbabit, walaupun meminta pertolongan daripada pengurusnya, namun tiada tindakan diambil untuk menghentikan tindakan penderaan yang dilakukan oleh eksekutif terbabit.
“Walaupun selepas berbulan-bulan menderita dan merayu untuk mendapatkan bantuan, pengurusan Maybank gagal bertindak tegas, menyebabkan Uva menanggung trauma emosi dan psikologi,” kata beliau.
Kata Solomon, Maybank enggan memulihkan mangsa yang telah mengalami trauma, masalah emosi dan psikologi yang mendalam.
Beliau seterusnya berkata, gangguan perkauman diamalkan eksekutif terbabit dan ketidaktindakan Maybank melanggar maruah asas manusia dan secara langsung bercanggah dengan “nilai yang didakwa kononnya Maybank tegakkan.”
Malah menurut Solomon, ketiadaan tindakan di pihak Maybank jelas adalah melanggar Rangka Kerja Kemampanan milik pemegang kepentingan terbesarnya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengutamakan hak asasi manusia, amalan buruh yang adil dan tempat kerja yang selamat.
“PNB mesti bertanggungjawab kerana membenarkan perkauman terang-terangan itu berkembang maju dalam GLC,” kata beliau lagi.
Sehubungan dengan itu, kata Solomon, NUBE menuntut tindakan tatatertib ke atas eksekutif terbabit dan lain-lain yang terlibat dalam perlindungan selaras dengan dasar Toleransi Sifar Maybank, permohonan maaf secara terbuka dan bertulis secara rasmi kepada pekerja tersebut, dan PNB mengambil bahagian dan memastikan pematuhan ESG mereka terhadap penyiasat mereka.