Cuti menteri, KSU dan KP dibatal hingga masalah banjir selesai

Kerajaan mengumumkan pembatalan cuti para menteri persekutuan, ketua setiausaha dan ketua pengarah bagi membantu usaha menyelesaikan masalah ekoran banjir.

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan percutian masing-masing sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menteri yang kini berada di luar negara juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.

“Saya dapat banyak soalan mengenai menteri Kabinet yang bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing. Mana ada di luar negara balik segera,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Piatu, Bentong, Pahang semalam.

Perdana Menteri berkata, beliau juga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand, yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Disember ini bagi memberi tumpuan pada isu banjir yang melanda rakyat ketika ini.

Perdana Menteri turut menyuarakan penghargaan kepada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, yang menyumbang RM75.8 juta sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa cuti semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan dibatalkan serta-merta.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri erkenaan arahan pembatalan cuti bagi anggota Kabinet dan mengarahkan semua menteri yang sedang bercuti di luar negara, supaya pulang segera.

“Saya turut mengarahkan semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan/Agensi bagi perkara yang sama berkuat kuasa serta-merta,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohd Zuki berkata ini bagi membolehkan semua agensi kerajaan menggembleng tenaga dalam memastikan kesiapsiagaan seluruh jentera kerajaan untuk mengharungi keadaan semasa negara demi rakyat.