KUALA LUMPUR: CUEPACS, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, hari ini menggesa ketua jabatan-ketua jabatan mengenal pasti kakitangan yang masih belum mendaftar atau masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, langkah itu perlu dilakukan segera bagi membolehkan maklum balas diterima mengenai punca mereka masih belum mendaftar.
Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya mengambil maklum bahawa 2.2 peratus penjawat awam masih tidak mendaftar bagi suntikan vaksin Covid-19, namun terlalu awal untuk membuat rumusan golongan itu menolak vaksinasi.
“Terdapat kemungkinan penjawat awam ini belum mendaftar kerana mempunyai alahan, mengandung atau pun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” kata beliau.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman semalam bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi fokus terhadap 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat 19 Ogos lepas.
Katanya, susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas kita buat pemadanan data di aplikasi MySejahtera dengan data penjawat awam, kita dapati daripada lebih sejuta penjawat awam, cuma 2.2 peratus yang kita tak dapat kesan mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan vaksin,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu kata Adnan, ketua jabatan perlu mengadakan sesi pertemuan dengan petugas masing-masing selepas proses mengenal pasti bagi mengetahui dan menyelesaikan permasalahan dihadapi sekali gus menyampaikan maklumat berkaitan kebaikan vaksin.
Sementara itu, pihaknya juga berharap kerajaan menyegerakan proses vaksinasi bagi individu telah mendaftar termasuk 30,000 penjawat awam, yang masih belum memperoleh tarikh janji temu.
Dalam kenyataannya, Adnan turut menasihati penjawat awam, untuk tidak mengabaikan tanggungjawab mereka menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan seterusnya memastikan persekitaran selamat di jabatan masing-masing.
Menurut beliau, keengganan pihak tertentu untuk divaksin hanya akan mendedahkan risiko kepada rakan sekerja sehingga mewujudkan persekitaran tidak selamat di tempat kerja.