CUEPACS, Pejasma sambut baik jaminan PM semak gaji dan lindungi kebajikan pesara

CUEPACS dan Pejasma sambut baik jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal semak gaji dan lindungi kebajikan pesara.

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengkaji semula gaji golongan itu umpama berita gembira kepada penjawat awam selari dengan situasi peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, CUEPACS berharap Jemaah Menteri dapat memberikan kelulusan segera cadangan memulakan pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.

“Dalam masa sama, CUEPACS berharap suatu tempoh masa tidak terlalu lama ditetapkan bagi pasukan ini memberikan dapatan berdasarkan kajian yang dibuat.

“Tempoh masa itu tidak boleh terlalu panjang supaya ia relevan dengan situasi persekitaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah dengan mendadak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, ia penting apatah lagi peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini dan semua pihak terkesan dengan bebanan kos itu.

Beliau berkata, pihaknya bersedia bersama-sama dengan pasukan ini bagi memberikan pandangan sewajarnya daripada sudut pandang warga penjawat awam bagi memastikan syor dikemukakan diterima golongan itu yang menjadi penerima manfaat.

“Pandangan dan penglibatan keseluruhan kakitangan perkhidmatan awam wajar diambil dan diterima,” kata beliau.

Kata beliau, sebelum ini CUEPACS mencadangkan kesesuaian gaji minimum perkhidmatan awam ialah RM1,800 dalam menjamin kehidupan golongan penjawat awam supaya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa dengan kenaikan kos sara hidup.

“Dalam konteks kali ini CUEPACS terbuka memulakan rundingan semula dengan pasukan yang akan ditubuhkan kelak,” katanya.

Kata beliau, CUEPACS turut mencadangkan penambah baikan dalam skim baharu termasuk kenaikan gaji tahunan kepada RM180 serta kenaikan pangkat Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua lapan tahun.

“Peningkatan Gred untuk Skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29 dan gred minimum Gred 19.

“Selain itu, Sistem Saraan hendaklah dikaji setiap lima tahun sekali, elaun sara hidup (COLA) hendaklah ditingkatkan dan Imbuhan Tetap Perumahan perlu ditambah daripada RM300 (kini) kepada RM450 serta memperkenalkan elaun bandaraya RM500,” katanya.

Jumaat lalu, Anwar berkata, kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara dan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet minggu depan.

Katanya, pelarasan gaji penjawat awam sudah agak lama tidak dibuat, dengan semakan terakhir dilakukan pada 2013.

“Kita akan bentangkan (cadangan kajian semula) kepada Kabinet untuk kelulusan. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara telah berkongsi pandangan dengan saya untuk menubuhkan pasukan penyemakan dan saya bersetuju.

“Secara amnya, gaji dan gaji penjawat awam masih berada pada tahap yang sangat rendah dan adalah munasabah untuk kerajaan mempertimbangkan perkara ini walaupun kita terikat dengan kekangan kewangan, tetapi saya percaya kita boleh mencari jalan untuk melakukan beberapa perubahan supaya kami meluluskannya.”

Tiga hari lalu, Anwar berkata, kerajaan sedang memperhalusi mekanisme terbaik untuk melindungi pesara susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen.

Perdana Menteri, berkata kerajaan akan menangani isu berkenaan dan sedang mengusahakannya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma), Datuk Ab Rahman Manan juga menyambut baik pengumuman oleh Anwar berhubung isu pencen dan gaji

“Pejasma mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu pencen pesara kerajaan tanpa menjejaskan keptusan mahkamah persekutuan berkaitan perkara ini.

“Perdana Menteri memberi jaminan akan melindungi kepentingan pesara tanpa menjejaskan keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah baru-baru ini.

“Dengan pengumuman jaminan ini menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap semua rakyat Malaysia termasuk pesara kerajaan,” kata beliau.