CUEPACS: Kerajaan perlu panjangkan tempoh bayaran pinjaman bagi elak penjawat awam muflis

CUEPACS mahu Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia meneliti had tempoh bayaran pinjaman supaya dapat dipanjangkan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengelakkan masalah muflis.

KUALA LUMPUR: CUEPACS mahu Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia meneliti had tempoh bayaran pinjaman supaya dapat dipanjangkan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengelakkan masalah muflis.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu wajar dilaksanakan bagi merendahkan jumlah bayaran balik pinjaman, sekali gus membantu rakyat yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup serta kesan pasca-Covid-19.

Katanya, ini termasuk bayaran pembiayaan peribadi dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun.

Bayaran semula pinjaman yang rendah membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan, tambahnya.

“Secara keseluruhannya, kata beliau, langkah itu dijangka merancakkan semula ekonomi, selain mampu memberi peluang kedua kepada rakyat yang mungkin terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan, menstruktur semula kewangan mereka.

“Pada masa sama, operasi perniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM boleh berkembang semula,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, pada tahun 2013 Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun, mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam menjadi lebih besar.

Mengambil maklum laporan media mengenai 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi sejak 2018, Adnan berkata, hutang pinjaman peribadi serta sewa beli kenderaan menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kebankrapan sejak lima tahun lepas.

Bagaimanapun, rekod kebankrapan dalam kalangan pekerja di sektor awam dilihat tidak begitu membimbangkan, iaitu kira-kira 9.06%, atau 4,449 orang.

Beliau berkata, ini kerana pendedahan terhadap pengurusan kewangan baik secara berterusan oleh sektor perkhidmatan awam telah meningkatkan kesedaran penjawat awam supaya tidak terjerat dalam kancah hutang.

CUEPACS melahirkan kebimbangan tentang keperluan rakyat ketika ini yang terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan disebabkan gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.

Katanya, ramai rakyat dilihat terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk menampung keperluan yang mendesak, tetapi tempoh pembiayaan yang singkat, iaitu maksimum 10 tahun, menyebabkan ansuran bulanan menjadi tinggi sehingga menyebabkan pendapatan boleh guna peminjam terjejas.

Justeru, langkah memanjangkan tempoh pembiayaan membolehkan mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi tidak begitu bimbang, kerana bayaran bulanan pinjaman akan menjadi lebih rendah.

“Rakyat yang terjejas pendapatan juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang termampu.

“Penstrukturan semula pinjaman boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku,” katanya.