CUEPACS: Jangan tuntut semula kenaikan pencen dibayar sejak satu dekad lalu

CUEPACS meminta kerajaan tidak menuntut semula bayaran kenaikan pencen sebanyak dua peratus yang dilaksanakan sejak 10 tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan tidak menuntut semula bayaran kenaikan pencen sebanyak dua peratus yang dikuatkuasakan sejak satu dekad lalu ekoran satu keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu.

Badan itu turut mencadangkan kenaikan pencen pesara kerajaan sebanyak dua peratus setiap tahun dikekalkan sehingga kerajaan melaksanakan pelarasan gaji baharu penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, pembayaran itu sudah dinikmati oleh pesara dan jumlah yang diberikan itu tidaklah terlalu besar kerana penerimanya kebanyakan dalam kalangan B40 dan M40.

“CUEPACS mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.

“Kita menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan menyifatkan itu suatu perkara yang berlandaskan Perlembagaan. Kenaikan pencen pesara kerajaan sebanyak dua peratus secara tahunan terbatal dengan sendirinya disebabkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, bayaran itu mungkin boleh dikekalkan melalui bentuk pemberian lain seperti insentif sara hidup berbanding dihentikan serta-merta.

“Tidak wajar setiap kemudahan yang dinikmati oleh pesara ditarik semula tanpa digantikan dengan suatu kemudahan yang lebih baik,” kata beliau.

Kata beliau: “Ini mungkin boleh dikekalkan melalui bentuk pemberian lain seperti insentif sara hidup berbanding dihentikan serta-merta.”

Dalam pada itu, Adnan turut berharap supaya kerajaan menyegerakan pelarasan gaji kakitangan awam yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pesara kerajaan.

“Semakan gaji sektor awam sudah terlalu lama tidak dilakukan oleh kerajaan. Berdasarkan keputusan oleh mahkamah ini akan menyebabkan pesara kerajaan tidak akan menerima manfaat, selagi semakan gaji sektor awam tidak dilakukan,” katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah JPA untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA), yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, kurang memihak kepada pesara dan dengan itu melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntuk perlindungan hak pencen).

Seksyen 3 (2) PAA yang dipinda itu menyatakan bahawa jika penggunaan kadar kenaikan tertentu akan mengakibatkan keadaan yang kurang menguntungkan seseorang pegawai yang dilantik sebelum pindaan berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong boleh melalui perintah dalam warta menetapkan peratusan kenaikan yang lebih tinggi yang sesuai untuk digunakan dalam kes sedemikian.

Pada 13 Januari tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan pindaan Seksyen 3 dan 7 itu yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, menyaman kerajaan dan Ketua Pengarah JPA atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, mendakwa pindaan kepada PAA pada 2013 mengakibatkan keadaan kurang memberi manfaat kepada beliau, berbanding dengan skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah Akta Pelarasan Pencen 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred tersebut.

Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Pada mulanya Aminah tetal gagal di Mahkamah Tinggi apabila kesnya ditolak pada 2020. Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan Ketua Pengarah JPA mendapat kebenaran merayu tahun lalu.