KUALA LUMPUR: Cuepacs menegaskan bahawa kira-kira 30,000 kakitangan yang belum mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 perlu akur dengan saranan kerajaan bagi membantu negara membentuk imuniti kelompok lebih cepat.
Presidennya, Adnan Mat berkata, ini kerana kakitangan kerajaan adalah pelaksana dasar kerajaan yang pastinya perlu lebih dahulu mengamalkan dasar-dasar terbabit termasuk berkaitan vaksin.
Dipetik Harian Metro, beliau memberitahu: “Dalam bahasa mudah kita adalah pekerja kerajaan yang menerima arahan dan menjalankan dasar kerajaan, sudah tentu kakitangan awam ini perlu patuh dengan arahan kerajaan.”
“Penjawat awam juga petugas barisan hadapan yang menjadi ejen utama untuk rakyat kembali pulih membina ekonomi ketika pandemik, mereka bertugas dalam sistem penyampaian kepada rakyat, memang sangat penting mereka menerima vaksin,” kata beliau selepas satu majlis di Alor Setar, Kedah.
Adnan juga berkata, ketua jabatan juga turut perlu memainkan peranan untuk memantau dan memastikan setiap penjawat awam di bawah seliaan menerima suntikan vaksin.
Katanya, dalam masa yang sama, penjawat awam yang belum mendaftar boleh secara terus mengambil suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di setiap daerah.
“Mungkin dalam situasi sekarang ada penjawat awam yang leka tidak mendaftar kerana bekerja dari rumah (BDR), ada juga yang tidak mendaftar kerana ada penyakit atau alahan tertentu, jadi ketua jabatan boleh mengambil pendekatan untuk berjumpa dengan mereka untuk mengetahui apa sebenar masalah yang dihadapi sehingga tidak mendaftar.
“Saya yakin selepas dibenarkan 100 peratus semua agensi kerajaan kembali bekerja di pejabat masing-masing, ketua jabatan boleh terus pantau pekerja mereka agar lebih ramai yang terima vaksin,” katanya.
Pada 30 Ogos lalu, beliau menggesa semua ketua jabatan mengenal pasti petugas yang tidak mendaftar atau masih belum menerima suntikan vaksin.
Katanya, proses mengenal pasti itu perlu dilakukan segera, bagi membolehkan maklum balas diterima mengenai punca mereka masih belum mendaftar.
Malah menurut Adnan, pihaknya mengambil maklum 2.2 peratus penjawat awam masih tidak mendaftar bagi suntikan vaksin COVID-19, namun terlalu awal untuk membuat rumusan golongan itu menolak vaksinasi.