COVID-19: Pengerusi MAC rayu kerajaan benar industri acara perniagaan operasi

Pengerusi Majlis Penasihat Konvensyen dan Pameran Asia Pasifik (MAC), Persatuan Pusat Perdagangan Dunia (WTC), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Penasihat Konvensyen dan Pameran Asia Pasifik (MAC), Persatuan Pusat Perdagangan Dunia (WTC), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim hari ini merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan pelonggaran sekatan yang dikenakan ke atas industri acara perniagaan (BE) ekoran pandemik COVID-19.

Sambil menyifatkan BE sebagai barisan hadapan pemulihan ekonomi agar Malaysia dapat bertahan, hidup semula dan berkembang maju, kata beliau, kelonggaran yang dicadangkan itu amat penting dalam memastikan kelangsungan bisnes dan ekonomi.

“BE adalah kunci masa depan dalam memastikan dan membantu ekonomi Malaysia kembali ke landasan,” kata beliau menerusi kenyataan media dikeluarkan.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif WTC Kuala Lumpur berkata, kelangsungan hidup adalah satu keperluan dan oleh itu, pengkelasan semula industri ini harus dilakukan sekarang.

“BE tidak boleh digolongkan sebagai aktiviti sosial, namun kita tidak boleh mengalami kerugian sebanyak RM4.05 bilion.

“Lebih-lebih lagi, gelombang pengangguran semakin besar ketika menanti untuk melangkah ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” kata beliau.

Lembah Klang yang berada dalam Fasa 1 PPN lebih tiga bulan memasuki fasa seterusnya sejak Jumaat lalu.

Irmohizam seterusnya berkata, kerajaan harus menekankan peruntukan khusus yang berfokus pada kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi di tengah-tengah COVID-19.

Katanya, kerajaan harus menyedari keperluan dan sumbangan BE ke arah pemulihan ekonomi.

“Industri BE memainkan peranan besar sebagai barisan hadapan dalam bidang ekonomi. Kami memohon kerajaan agar meningkatkan lebih banyak keterlibatan dengan acara perniagaan.

“Kami percaya bahawa sekiranya peristiwa berlaku dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pemulihan ekonomi kita dapat dirangsang,” kata beliau, sambil menambah, “imuniti berkelompok bagi populasi dewasa negara nampaknya akan segera dicapai pada akhir bulan September melalui proses vaksinasi COVID-19 Malaysia.”