CAMU gesa RUU Kesatuan Sekerja ditangguh, dakwa pindaan hakis hak pekerja dan kesatuan

Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menggesa agar Kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU Kesatuan Sekerja 1959.

KUALA LUMPUR: Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menggesa agar kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 dan mengadakan dialog dengan kesatuan sekerja.

RUU untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2022.

Pengerusi CAMU, Zulfakar Mohamed (foto) berkata, pihaknya membantah cadangan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan “kepelbagaian kesatuan sekerja” dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.

“RUU ini mencadangkan untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan membenarkan lebih daripada satu Kesatuan Sekerja wujud bersama dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama atau serupa,” kata beliau.

Kata beliau, Menteri Sumber Manusia telah gagal untuk memanggil Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi mengadakan dialog sosial yang formal, wajar dan bermakna dengan Kesatuan Sekerja sejak lebih daripada dua tahun.

“Kesatuan sekerja, sebagai wakil pekerja, adalah pihak berkepentingan yang penting dalam semua perkara yang berkaitan dengan dasar buruh,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Zulfakar berkata, kerajaan telah mengabaikan Analisis Impak Peraturan (RIA) yang dikeluarkan pada 15 Julai 2013, yang menetapkan bahawa sebarang cadangan peraturan baharu atau pindaan ke atas peraturan akan melibatkan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

Malah katanya, kerajaan juga tidak mengendahkan Konvensyen 144 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Perundingan Tiga Pihak yang memerlukan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan utama mengenai dasar buruh.

Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 14 Jun 2002.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia (NUDIW) berkata, kerajaan telah gagal untuk mempertimbangkan sembilan kesan negatif yang bakal wujud akibat pelaksanaan peruntukan berkaitan kepelbagaian kesatuan sekerja dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama/serupa.

Sembilan kesan itu termasuklah:

  • Kepelbagaian kesatuan sekerja akan menghakis solidariti dalam kalangan pekerja
  • Suara sepakat ahli-ahli kesatuan sekerja akan menjadi lemah
  • Kepelbagaian kesatuan sekerja akan mewujudkan persaingan antara kesatuan sekerja di tempat kerja
  • Akan mencetuskan ketidakstabilan, ketidakharmonian dan perpecahan di tempat kerja
  • Akan membawa kepada tindak-tanduk “mencuri” keahlian di antara kesatuan sekerja
  • Akan menghakis sosioekonomi dan hak pekerja
  • Tindakan majikan memusnahkan/membunuh kesatuan sekerja akan meningkat
  • Kesatuan sekerja boneka akan ditubuhkan
  • Kesatuan sekerja akan berfungsi atas belas kasihan pihak pemerintah

Selain itu menurut beliau, peruntukan kepelbagaian kesatuan sekerja di tempat kerja akan mempunyai kesan-kesan yang berikut, iaitu:

  • Gaji dan faedah yang ditindas
  • Ketaksamaan pendapatan akan semakin meluas
  • Perjanjian Kolektif yang lemah dan tertangguh

“Pindaan yang disyorkan akan mengakibatkan ketidakharmonian industri di tempat kerja yang akan memberi kesan negatif ke atas produktiviti, sekali gus akan membawa impak buruk terhadap pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau.

Dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kesatuan Pekerja-Pekerja Bukan Eksekutif Maybank Bhd melawan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank & Anor pada tahun 2018,

“Sudah ada Kesatuan Sekerja sedia ada yang mewakili dan memenuhi industri tertentu yang sama dan ia sepatutnya mengingatkan Ketua Pengarah (Kesatuan Sekerja) bahawa kepelbagaian Kesatuan Sekerja berkenaan dengan pekerjaan yang sama bukan sesuatu yang terbaik dalam (memelihara) keharmonian industri.”

Zulfakar berkata, percubaan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan aspek kepelbagaian kesatuan sekerja oleh kerajaan secara terang-terangan mengetepikan kebimbangan yang disuarakan oleh Mahkamah Persekutuan yang mengatakan bahawa “kepelbagaian Kesatuan Sekerja berkenaan dengan pekerjaan yang sama bukan sesuatu yang baik (dari sudut) keharmonian industri”.