CA wajib ada peruntukan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tegas Presiden UNI-MLC

Para peserta Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan anjuran UNI-MLC di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kesatuan sekerja perlu memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dimasukkan dalam setiap perjanjian kolektif bagi memberi jaminan yang optimum kepada ahli-ahli mereka di tempat kerja.

Sehubungan dengan itu, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja digesa memainkan peranan secara menyeluruh dengan penyertaan aktif majikan dan pekerja bagi mencapai sasaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Menzahirkan keperluan itu hari ini, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, sangat penting bagi kesatuan sekerja memberi fokus untuk menyertakan peruntukan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam setiap buku perjanjian kolektif.

“Ini (buku perjanjian kolektif) merupakan buku yang penting. Kita bukan bincang dan mesyuarat dengan pihak majikan, tetapi kita berunding, kita adakan perundingan.

“Jadi, kena tengok balik (buku perjanjian kolektif) sama ada termaktub atau tidak aspek-aspek yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan di bawah tajuk “Kesatuan Sekerja dan Majikan Bertindak Dalam Perkongsian Bagi Mengelakkan Kemalangan Di Tempat Kerja” pada Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini, hari ini.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menyampaikan syarahan di bawah tajuk “Kesatuan Sekerja dan Majikan Bertindak Dalam Perkongsian Bagi Mengelakkan Kemalangan Di Tempat Kerja” pada Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Persidangan itu bertemakan “Persekitaran Kerja Yang Selamat dan Sihat Merupakan Hak Asasi” anjuran UNI-MLC, PERKESO dan Uni Global Union Asia Pasifik. Lebih 100 orang menyertai persidangan ini.

Mohamed Shafie berkata, setiap perjanjian kolektif seharusnya memasukkan peruntukan-peruntukan yang digariskan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Apakah kita telah dilatih untuk menjalankan perkara-perkara yang digariskan dalam perjanjian kolektif (mengenai soal keselamatan dan kesihatan pekerjaan).

“Perkara-perkara ini mesti dimasukkan ke dalam perjanjian kolektif.

“Banyak majikan cuci tangan, jadi kesemua ini perlu dimasukkan ke dalam buku perjanjian kolektif,” kata beliau yang turut menekankan bahawa keperluan ini menjadi semakin penting susulan pandemik COVID-19 dan amalan kerja dari rumah atau luar pejabat kekal.

“Banyak kemalangan berlaku ketika bekerja dari luar pejabat fizikal, termasuk di rumah.

“Jadi sudah sampai masa peruntukan-peruntukan lebih kukuh dan menjamin kebajikan dimasukkan ke dalam undang-undang formal dan perjanjian kolektif daripada segi keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” kata beliau lagi.

Tambah Mohamed Shafie, pekerja akan rugi sekiranya kesemua pemegang taruh gagal memahami peranan mereka dan tidak memainkan peranan masing-masing dengan efektif.

Turut menyampaikan syarahan pada persidangan sehari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Alpha International Training & Consultancy Sdn Bhd, Profesor Dr Louis Adaikalam; Pakar Teknikal Jabatan Perundingan, Penyelidikan & Pembangunan NIOSH, Siti Nuraini Hassan dan Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia, Anita Bakar.

Persidangan dirasmikan oleh Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia, Anita Bakar menyampaikan syarahan beliau.