Berita gembira untuk penjawat awam 30 Ogos ini, kata PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada 30 Ogos ini. – FB Perdana Menteri Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada 30 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaannya senantiasa menghargai pengorbanan penjawat awam, termasuk pasukan keselamatan.

“Insya-Allah, kita akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka lara para penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.

“Tunggulah saya pun tengah fikir mengenainya,” kata beliau ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pada bulan lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan daripada penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tiada tindakan diambil.

“Jika gaji mereka tidak disemak sebelum Parlimen dibubarkan, Cuepacs bersedia untuk berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam,” katanya.

Sebelum itu, Cuepacs menggesa kerajaan meluluskan cadangan menaikkan gaji penjawat awam bagi membantu mereka menghadapi kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Adnan berkata, cadangan lain termasuklah pelaksanaan gaji minimum RM1,800 untuk kakitangan awam, dua kenaikan setiap tahun, sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil dan saksama, elaun pelbagai tugas, elaun batik dan pakaian kebangsaan, mengisi kekosongan jawatan pembantu tadbir dengan segera, tiada pelupusan jawatan yang tidak diisi selama dua tahun seperti yang terkandung dalam pekeliling Perbendaharaan baru-baru ini sebagai langkah penjimatan kos; dan menamakan semula jawatan pembantu tadbir kepada pegawai perkeranian, seperti sebelum ini.

Beliau berkata, struktur gaji semasa penjawat awam sudah dilaksanakan sejak 2002 dan wajar dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan zaman semasa.

Dalam ucapannya hari ini, Ismail Sabri berkata, di saat negara sedang mengalami kesusahan seperti banjir besar yang tidak dijangka, pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.

Ketika negara berdepan pandemik Covid-19, Ismail Sabri berkata, ada banyak cerita kesedihan petugas kesihatan yang berkorban jiwa raga dan nyawa dalam menangani virus itu.

Beliau berkata, jasa dan pengorbanan mereka sebagai wira tidak didendang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah.

“Sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dukungan daripada semua pihak. Alhamdulillah, kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan penjawat awam.

“Begitu juga dengan para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara, khususnya melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengingati sumbangan mereka,” katanya.