Sebagaimana telah diramalkan banyak pihak, kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun 2023, bagi kedua-dua simpanan konvensional dan syariah, meningkat berbanding tahun sebelumnya. – Imej sumbangan KWSP
KUALA LUMPUR: Sebagaimana telah diramalkan banyak pihak, dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun 2023, bagi kedua-dua simpanan konvensional dan syariah, meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Mengumumkan perkara itu hari ini, dana simpanan negara itu yang menjadi perhatian banyak pihak sejak kebelakangan ini berkata, simpanan konvensional akan menerima dividen 5.50 peratus dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.
Untuk tahun 2022, KWSP membayar dividen kovensional adalah sebanyak 5.35 peratus.
Dalam pada itu, KWSP mengumumkan dividen 5.40 peratus untuk simpanan syariah dengan jumlah agihan RM7.48 bilion membawa kepada keseluruhan jumlah agihan pendapatan bagi 2023 sebanyak RM57.81 bilion.
Tahun 2022, pencarum akaun syariah menerima dividen 4.75 peratus.
“Bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022,” kata KWSP dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena sesi taklimat prestasi kewangan KWSP di Shah Alam, hari ini.
Sesi taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, YBrs Ahmad Zulqarnain Onn.
Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, menurtu KWSP, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.
“Adalah menjadi amalan berhemat KWSP membayar dividen hanya daripada pendapatan yang direalisasikan,” kata KWSP.
YBrs Ahmad Zulqarnain berkata, kepelbagaian portfolio dan pengurusan dana yang aktif membolehkan KWSP untuk mengisytiharkan kadar dividen lebih baik untuk 2023.
Tambah beliau, agihan dividen keseluruhan sebanyak RM57.81 pada kali ini bakal memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan informal.
Sehingga Disember 2023, aset pelaburan KWSP telah mencecah RM1,135.82 bilion. Daripada jumlah itu, 62 dilaburkan dalam pasaran domestik.
Bagi 2023, pelaburan domestik menjana RM31.71 bilion atau 47 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, yang memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.
KWSP berkata, pelaburan asing menjana RM35.28 bilion, atau 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang dicatatkan.
Sehingga Disember 2023, ahli baharu KWSP telah meningkat kepada 460,447 orang, sekali gus menjadikan jumlah ahli badan itu adalah seramai 16.07 juta orang.