Belanjawan 2022: Kakitangan awam terima bantuan khas kewangan RM700, pesara RM350

Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 .

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 manakala RM350 kepada sejuta pesara.

Bantuan khas itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, bagi mengiktiraf pengorbanan penjawat awam khususnya petugas barisan hadapan, beliau berkata gantian cuti rehat (GCR) turut dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

“Di samping itu, kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari.

“Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata kerajaan turut memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental.

Kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antaranya, menurunkan kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada empat kepada dua peratus.

Selain itu, kerajaan akan memperuntukkan RM365 juta antaranya bagi menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

“Selain itu, meneruskan inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100,000 untuk manfaat 40,000 peminjam baharu LPPSA. Skop perlindungan ini akan diperluas dengan penambahan tiga jenis perlindungan baharu merangkumi hilang upaya separa, sebahagian dan kekal, badal haji serta perbelanjaan pemulihan kecederaan disebabkan kemalangan.

“Meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada 150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14 ribu pegawai penjara. Sebagai tambahan, elaun ini juga dipanjangkan kepada 775 pegawai kader di institusi penjara yang terlibat dalam tugas pengawasan banduan.

“Dalam masa yang sama, meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (atau PVR) daripada RM7.80 sen kepada RM9.80 sen sejam untuk pegawai; dan daripada RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota. Kenaikan ini bakal memanfaatkan hampir 10,000 PVR,” ujarnya.