Belanjawan 2022: Insentif berkaitan pekerja, pekerjaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membentangkan Belanjawan 2022 di Parlimen semalam. – FB Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: Berikut adalah insentif berkaitan para pekerja dan pekerjaan disenaraikan dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

  • Bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), M6.6 bilion disediakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan. Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa.
  • Peruntukan tambahan RM200 juta disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri.
  • Mengambil semangat konsep job guarantee, di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.
  • Melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 orang dan peruntukan RM2 bilion. Di bawah inisiatif ini, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.
  • Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti OKU, Orang Asli dan banduan pula, akan diberikan insentif 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.
  • Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah.
  • Inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan mulai Januari 2022.
  • Menyasarkan 220,000 pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan.
  • Program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri turut dipergiat dengan keutamaan kepada kemahiran digital seperti contoh program Global Online Workforce (atau GLOW) di bawah MDEC.
  • Meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan daripada RM475 kepada RM550, yang akan membantu 56,000 isi rumah.
  • Kos sara hidup dijangka akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima faedah sedia ada. Dengan peningkatan ini, Kerajaan juga bercadang meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi 9 juta pekerja yang dilindungi oleh PERKESO. Secara keseluruhan, inisiatif ini akan melibatkan penambahan faedah PERKESO yang berjumlah RM267 juta.
  • Kerajaan bercadang untuk meluaskan pelepasan cukai sehingga 4,000 ringgit kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.
  • Untuk menggalakkan pekerja swasta mencarum dengan PERKESO dan melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan, had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM250 kepada RM350 dan skop pelepasan bagi caruman PERKESO turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan.
  • Bagi memastikan tempat buat anak muda OKU menceburi bidang pekerjaan, Kerajaan akan menyediakan kuota khas sebanyak 1 peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU.
  • Memperluaskan Program Pemulihan Dalam Komuniti merupakan antara medium intervensi awal untuk anak-anak kurang upaya meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan.
  • Pihak swasta diseru memberi elaun sekurang-kurangnya RM900 atas khidmat pelajar yang menjalani program latihan industri.
  • Kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan; iaitu meningkat berbanding RM800 sebelum ini.
  • Dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion disediakan bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional, khususnya yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri dan memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan PKS tempatan.
  • Bagi menggalakkan kejayaan seperti yang dicapai Piktochart, Cradle Fund sebagai agensi penyelaras ekosistem startup akan diperuntukkan RM20 juta untuk mempergiat usaha memulih dan membina daya tahan ekonomi startup.
  • Selari dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), strategi MyStartup akan dilaksanakan secara berfasa untuk memberi manfaat kepada lebih 2,500 syarikat dan mewujudkan 5,000 peluang.
  • Sebagai tambahan, pada tahun hadapan Kerajaan akan menjayakan Program Riuh Keluarga Malaysia melalui dana padanan pinjaman pelaburan berjumlah RM20 juta. Langkah ini dijangka memberi 5,000 peluang pekerjaan baharu.
  • Menurunkan kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada 4 kepada 2 peratus;
  • Memperuntukkan RM365 juta antaranya bagi menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah
  • Meneruskan inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100,000 tinggit untuk manfaat 40,000 peminjam baharu LPPSA.
  • Meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara. Sebagai tambahan, elaun ini juga dipanjangkan kepada 775 pegawai kader di institusi penjara yang terlibat dalam tugas pengawasan banduan.
  • Meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai; dan daripada 6 ringgit kepada 8 ringgit sejam untuk anggota. Kenaikan ini bakal memanfaatkan hampir 10,000 PVR.
  • Memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan atas jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, OKU dan pesakit mental.
  • Bagi mengiktiraf pengorbanan penjawat awam, gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.
  • Membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari. Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak.
  • Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi Kewangan sebanyak 1.3 bilion ringgit. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.