Belanjawan 2022 fokus usaha pemulihan, kata Pengarah Eksekutif WTC KL

Pengerusi Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam menyasarkan sebahagian besarnya ke arah pemulihan.

Pengerusi Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, seperti yang telah dinyatakan, bajet untuk tahun depan berpaksikan beberapa matlamat seperti memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.

“Kini, semua sektor ekonomi telah telah dibuka semula. Peruntukan RM40 bilion untuk geran, jaminan dan ekuiti sepada semua perniagaan hingga syarikat senaraian awam dilihat mungkin boleh menyokong pemulihan industri, namun sekiranya peruntukan itu lebih besar, maka pemulihan akan memberi implikasi yang lebih cepat disamping memberi tumpuan ke arah langkah-langkah produktif,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Konvensyen dan Pameran Persatuan WTC Asia Pasifik berharap agar peruntukan RM60 juta bagi tujuan promosi dan pelancongan domestik dapat dibesarkan lagi selain RM600 juta untuk pembiayaan sektor pelancongan.

Ini kerana, tambah beliau, industri acara turut berkait rapat dengan sektor ini dan jika pengecualian cukai dapat diberikan kepada individu, kumpulan mahupun organisasi yang mahu menggunakan perkhidmatan ini, maka lebih banyak tarikan diperingkat domestik mahupun antarabangsa.

“Pujian wajar diberikan kepada pihak kerajaan apabila Bajet 2022 ini dilihat menyantuni dan menghargai rakyat terutamanya jasa-jasa barisan hadapan.

“Boleh dikatakan peruntukan besar bagi Kementerian Pendidikan dan Kesihatan adalah baik dalam mengimbangi semula segala yang terkesan akibat pandemik. Sesuai dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, diharapkan ianya dapat menyokong pemulihan negara kita yang tercinta ini,” kata beliau.