Bekas KSN Ahmad Sarji meninggal dunia

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, 82, meninggal dunia di sebuah hospital pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, 82, meninggal dunia di sebuah hospital pagi tadi.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.40 pagi tadi.

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara kira-kira pukul 12 tengah tadi.

Dalam cacatan Facebook, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, “salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham YABhg (Yang Amat Berbahagia) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di atas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.”

“Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan,” katanya.

Mohd Zuki berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras akibat komplikasi COVID-19.

Ahmad Sarji juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).