Bekas KP SPRM Dzulkifli tidak tolak kemungkinan sertai parti politik

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad. Foto ihsan Astro Awani

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana parti politik.

“Saya sendiri akan maklumkan kalau sudah menyertai mana-mana parti politik, perkara tersebut akan dimaklumkan bila tiba masanya.

“Saya tidak akan sembunyi hal ini dan tak perlu kita nak berselindung,” kata beliau dipetik Bernama selepas menyampaikan sumbangan 1,500 kilogram ikan cencaru secara percuma kepada orang ramai di Pokok Sena, Kedah semalam.

Dzulkifli juga berkata, beliau akan meneruskan kerja-kerja kebajikan di sekitar Parlimen Tasek Gelugor yang merupakan kampung halamannya.

Beliau berkata, ia bagi meringankan beban masyarakat di kawasan itu ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sekiranya saya tidak menyertai parti politik sekali pun, program kebajikan yang dibuat akan diteruskan mengikut kemampuan kami demi membantu rakyat dan penduduk kampung,” kata beliau.

Beliau turut melancarkan skuad sukarelawan Pejabat Tan Sri Dzulkifli yang terdiri daripada golongan belia berumur lingkungan 18 hingga 40 tahun bagi membantu masyarakat di Tasek Gelugor dari pelbagai aspek termasuk tenaga kerja.