Bank Negara kekalkan OPR pada paras 3 peratus, buat kali kelima berturut-turut

Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.00 peratus, buat kali kelima berturut-turut.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.00 peratus, buat kali kelima berturut-turut.

Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, BNM berkata, ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan dalam negeri berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik.

Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM.

“Keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan di beberapa negara terus menyokong aktiviti penggunaan,” kata kenyataan itu.

BNM menjelaskan bahawa pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya lagi.

MPC mengekalkan OPR pada 3.00 peratus empat kali sebelum ini termasuk November dan Januari lalu.

Kadar penanda aras yang menjadi rujukan kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan selepas kenaikan pertama bagi 2023 diumumkan Mei lalu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Pada Januari sehingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

BNM berkata, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik manakala pertumbuhan China mungkin kekal sederhana berikutan pasaran harta tanah yang terus lemah.

Ia menambah, perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik.

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini,” kata BNM.

Walau bagaimanapun, bank pusat itu berkata, pendirian dasar monetari global dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, dengan inflasi terus berada pada paras melebihi purata.

BNM juga berkata, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.

BNM menambah, ekonomi Malaysia yang berkembang sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2023 dijangka meningkat tahun ini, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Ia berkata, pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak bulan Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan,” katanya.

BNM berkata, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

“Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu,” jelas kenyataan itu.

BNM seterusnya berkata, walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.

“Kerajaan dan Bank Negara Malaysia sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.

“Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh.

“Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit,” katanya lagi.