Banjir: UNI-MLC sambut baik jaminan PM, harap bantuan ‘total lost’ dinaikkan

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menghargai langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, tindakan yang diambil itu menunjukkan bahawa kepimpinan Ismail Sabri mendengar suara dan harapan mangsa banjir.

“Kita terima baik, ucapkan terima kasih atas tindakan dan langkah diambil oleh kepimpinan Perdana menteri,” kata beliau kepada Workers Times hari ini.

Semala, Ismail Sabri berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Katanya, di bawah inisiatif tersebut, kerajaan melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) termasuk RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan turut menyalurkan bantuan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Selain itu, bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia, malah mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir juga boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut,” katanya.

Malah menurut beliau, kerajaan negeri sudah membuat bayaran BWI bermula Isnin lalu dan dijangka selesai dalam minggu ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, Selangor dan Pahang mungkin berlaku sedikit kelewatan berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

“Setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI. Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, kerajaan diharap akan memberi tumpuan ke atas aspek penyaluran dan penyelarasan agar bantuan dapat tiba dengan segera kepada mangsa.

Dalam ulasannya, beliau mengesyorkan kerajaan mengkaji formula bayaran bantuan mengikut tahap keseriusan impak yang diakibatkan oleh banjir.

“Misalnya, sekiranya ada rumah atau tempat kediaman rosak teruk, maka jumlah pampasan perlu dinaikkan, misalnya sehingga RM5,000 berbanding RM1,000 kepada semua.

“Jadi, bayaran seperti itu akan mengurangkan beban yang dialami oleh mangsa yang berhadapan dengan situasi ‘total lost’,” kata beliau.